Anda di sini

Kemukakan masalah ke pengetahuan wakil rakyat

Advertisement
ABIDIN (dua kiri) dan lain-lain mendengar taklimat dari Pegawai Daerah Ranau Haji Faimin (kiri).
ABIDIN (dua kiri) dan lain-lain mendengar taklimat dari Pegawai Daerah Ranau Haji Faimin (kiri).

RANAU: Ketua-ketua Jabatan dan para pegawai kerajaan di daerah ini diminta membawa atau mengemukakan isu-isu yang berkaitan dengan kebajikan rakyat ke pengetahuan wakil rakyat di sini supaya ia dapat disalurkan kepada pihak yang berwajib.

   Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paginatan Datuk Abidin Madingkir berkata, interaksi yang kerap antara ketua jabatan dan pemimpin setempat mesti diteruskan supaya isu-isu yang timbul atau masalah yang dihadapi penduduk boleh ditangani dengan cekap.

    “Saya berharap perjumpaan antara wakil rakyat dan pegawai kerajaan, terutama ketua jabatan, dapat diteruskan supaya masalah yang dihadapi oleh rakyat dapat diselesaikan atau sekurang-kurangnya jalan penyelesaian dapat dikenal pasti.

   “Kita perlu bekerjasama untuk memastikan sebarang masalah dapat ditangani dengan cekap,” katanya kepada media selepas menghadiri taklimat oleh Pegawai Daerah Ranau, Haji Faimin Kamin mengenai pembangunan fizikal daerah berkenaan, di sini.

   Menuruntya, dalam taklimat tersebut, terdapat beberapa isu berkaitan dengan penduduk seperti bekalan air bersih, jalan raya, kampung yang termasuk dalam kawasan hutan simpan dan sebagainya.

   “Kami telah membincangkan dan bersetuju bahawa penyelesaian atau pendekatan harus diambil untuk kepentingan rakyat di kawasan ini,” katanya.

   Sementara itu, berikutan taklimat itu Abidin juga menyimpulkan bahawa penyelesaian terbaik dalam menangani isu bekalan air bersih di daerah Ranau adalah dengan memindahkan sumber air Jabatan Air ke Sungai Nakamura.

“Kami diberitahu bahawa sungai ini mempunyai sumber air paling tulen setakat ini kerana ia mengalir dari dalam kawasan hutan simpan di sepanjang bukit-bukit di bawah gunung.

"Dikatakan bahawa walaupun semasa musim hujan, sungai ini tidak akan melimpah dan semasa musim kering air sungainya terus mengalir.

   “Memandangkan lokasi sungai itu sendiri yang berasal dari kawasan hutan di ketinggian yang tinggi, yang bermaksud air segar tanpa pencemaran, aliran air ke saluran paip di seluruh Ranau akan ditekan melalui kekuatan graviti,” katanya.

   Abidin berkata, perkara tersebut juga akan dibawa ke pihak kementerian berkaitan di Dewan Undangan Negeri yang dikatakan sebagai platform tertinggi di mana masalah yang dihadapi oleh rakyat dapat dikemukakan untuk diselesaikan.

  • oleh
  • Advertisement