Anda di sini

Isu kanak-kanak tanpa sijil lahir perlu dikaji

Advertisement
MOHD Azis Jamman turut serta membersihkan longkang Pasar Pekan Manggatal pada Program Turun Padang CSR hari ini.
MOHD Azis Jamman turut serta membersihkan longkang Pasar Pekan Manggatal pada Program Turun Padang CSR hari ini.

KOTA KINABALU: Gesaan Sarawak supaya kerajaan Persekutuan menyerahkan kuasa kepada kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu ketiadaan sijil lahir dalam kalangan kanak-kanak di negeri itu perlu dikaji, termasuk  dari sudut implikasi perundangan, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman.

Beliau berkata perkara tersebut perlu dibincangkan dan diteliti  sebelum sebarang keputusan dibuat kerana berkemungkinan akan ada implikasi tertentu, termasuk melibatkan perubahan akta atau undang-undang sekiranya gesaan berkenaan ditunaika

"Permintaan mereka (Sarawak) ini, insya-Allah di peringkat kementerian perlu dikaji kerana sebagaimana kita tahu dalam Perjanjian Malaysia 1963, ada kuasa-kuasa tertentu yang sepatutnya dilakukan oleh kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

"Bagaimanapun, yang pastinya, jika Sarawak minta (kuasa diserahkan kepada kerajaan negeri menyelesaikan isu ketiadaan sijil lahir dalam kalangan kanak-kanak), saya fikir Sabah pun pasti akan minta (perkara sama)," katanya kepada pemberita pada Program Turun Padang di Pasar Manggatal di sini, hari ini.

Mohd Azis berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung gesaan berkenaan yang disuarakan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri Batu Kitang Lo Khere Chiang dalam sesi perbahasan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Khamis lalu.

Lo menggesa kerajaan Persekutuan menyerahkan kuasa kepada kerajaan Sarawak untuk menyelesaikan isu kanak-kanak tanpa sijil kelahiran di negeri itu memandangkan angka ketiadaan sijil lahir yang dikeluarkan Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak negeri pada awal tahun ini cukup membimbangkan.-Bernama.

Advertisement