Anda di sini

GGoB: Fiksyen dokumentari menarik karya penulis Sabah

Advertisement

KOTA KINABALU: Buku versi bahasa Inggeris bertajuk The Green Gold of Borneo (GGoB) yang baharu diterbitkan hasil nukilan Emin Madi, sarat dengan kisah pengembaraan fiksyen dokumentari, sekali gus menonjolkan pencapaian mengagumkan Sabah dalam usaha pemuliharaan hutan.

Watak protagonis dalam karya setebal 145 halaman itu ialah seorang wartawan berjiwa kental yang begitu taksub untuk mencungkil rahsia puncak berbentuk piring yang belum pernah diterokai di tengah-tengah Kawasan Pemuliharaan Lembangan Maliau (MBCA) yang turut dikenali sebagai ‘Lost World of Sabah’.   

Watak wartawan rekaan itu yang enggan mendengar nasihat seorang pawang Murut, kemudiannya telah mengalami pelbagai kejadian luar biasa dan aneh dalam situasi penuh misteri.

“Secara keseluruhannya, walaupun plot cerita ini hanyalah fiksyen, GGoB dipaparkan berdasarkan suasana persekitaran semula jadinya, terutamanya nasib baki hutan hujan yang masih belum diusik di Malaysia dan khususnya Sabah.

“Saya semakin sedar akan keajaiban alam semula jadi, dan dalam kes ini adalah hutan yang dilindungi sepenuhnya di Sabah, dijadikan topik yang amat menarik untuk penulisan buku.

“Saya bertuah kerana pernah mengambil bahagian dalam banyak kaji selidik berkaitan sumber dan hidupan liar dalam kawasan hutan asli di Sabah yang masih belum diterokai dan saya berpendapat saya patut tulis sesuatu yang lebih menarik seperti dokumentari-pengembaraan-fiksyen.

“Saya mengambil masa setahun iaitu sepanjang 2016 untuk menyiapkan manuskrip bagi GGoB, selepas bekas rakan sekerja saya, Zahir Ahmad, menyunting salinan pertama sebelum menghantarnya ke syarikat penerbitan berpangkalan di UK, Austin Macauley Publishers,” kata wartawan veteran itu kepada Bernama.

Wartawan sambilan Bernama itu mula terbabit dalam menghasilkan laporan alam sekitar pada 80-an apabila beliau menyertai ekspedisi saintifik di kawasan yang kini cukup terkenal di dunia iaitu Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum di Lahad Datu, Sabah, melibatkan penyelidik tempatan dan asing termasuk Royal Society, UK.

Pada 2013, Emin, 69, anak kelahiran Kampung Bayangan, Keningau, Sabah, menghabiskan masa selama 10 hari di kawasan hutan tebal MBCA bersama-sama penyelidik tempatan yang menjalankan kaji selidik sumber dan hidupan liar.

“Semasa berada di Lembangan Maliau saya mendapat ilham untuk menulis fiksyen dokumentari berdasarkan alam sekitar, lebih-lebih lagi selepas beberapa peserta ekspedisi bercerita kepada saya tentang peristiwa misteri yang berlaku di sekitar kawasan itu.

“Jadi saya mendapat idea untuk mula menulis GGoB menggunakan MBCA sebagai tema utama dan juga berdasarkan pengalaman sendiri bekerja bersama-sama para saintis dan penyelidik.

“Daripada pemerhatian saya sendiri, dapatan-dapatan daripada kerja lapangan itu amat penting kerana ia boleh digunakan untuk berkomunikasi dengan menggunakan fakta dan maklumat tentang hutan dilindungi di Sabah.

“Apa yang lebih penting, saya juga amat bersemangat dan bermotivasi dengan pelbagai usaha terpuji dilakukan Jabatan Perhutanan Sabah berserta sokongan padu pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini, untuk melindungi warisan asli negeri.

“Demi masa depan, saya berharap kerajaan ketika ini untuk memberikan komitmen untuk melindungi hutan kita yang masih belum terusik di samping meneruskan dan menggalakkan lebih banyak aktiviti penyelidikan dan usaha sama penyelidikan antarabangsa,” katanya.

Setakat November 2016, Kawasan Dilindungi Sepenuhnya (TPA) di Sabah adalah seluas 1,874,061 hektar atau  25.46 peratus daripada keseluruhan kawasan negeri.

Pada 1997, Dewan Undangan Negeri Sabah menaikkan taraf Kawasan Pemuliharaan Lembangan Maliau kepada Hutan Simpan Dilindungi  Kelas 1 dan menambah keluasannya daripada 39,000 hektar kepada  58,000 hektar dengan turut memasukkan kawasan tubir utara dan tubir timur serta Tasik Linumunsut, tasik terbesar di Sabah.

Menurut rekod, Lembangan Maliau dikesan pada 1947, apabila seorang juruterbang warga British yang dalam perjalanan dari Pantai Barat Sabah ke Tawau di pantai timur, hampir terhempas di cerun curam yang menjangkau ketinggian  915 meter.

Emin, bekas setiausaha akhbar di kementerian persekutuan berkata beliau juga telah menghasilkan dua fiksyen bertemakan alam sekitar dalam bahasa Malaysia. — Bernama

Advertisement