Anda di sini

Bekas calon PRU13 didakwa memandu mabuk hingga berlaku kemalangan maut

Advertisement
 Olivia (tengah) diiringi Pegawai Penyiasat ASP Joan Lee (kanan) dan pegawai trafik yang lain.
DIDAKWA: Olivia (tengah) diiringi Pegawai Penyiasat ASP Joan Lee (kanan) dan pegawai trafik yang lain.

TAWAU: Bekas calon Pilihan Raya Umum (PRU) 2013 sebuah parti tempatan, Olivia Chong Oi Yun, 34, yang didakwa memandu dalam keadaan mabuk sehingga berlaku kemalangan maut, dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.

Mengikut pertuduhan kes, Olivia didakwa mempunyai sebegitu banyak alkohol dalam badan sehingga melebihi had ditetapkan dan menyebabkan kematian empat mangsa.

Kemalangan maut itu dilaporkan berlaku di Jalan Chong Thien Vun, berhadapan dengan bangunan Pusat Komersil BDC (1Arena) Tawau, kira-kira jam 1.20 pagi pada 8 Julai.

Keempat-empat mangsa, Hiew Nyuk Wei, 30, Clawence Wong Vun Kit, 21, Dicson Lim Kien Shing, 16 dan Chong Wei Chan, 21, dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Tertuduh yang dituduh mengikut Seksyen 44 (1) (b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 juga didakwa menyebabkan seorang lagi mangsa, Chin Guan Xiong, 21, cedera parah.

Seksyen terbabit memperuntukkan hukuman penjara antara tiga sehingga 10 tahun dan denda tidak kurang RM8, 000 dan tidak lebih RM20,000, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding berlangsung, Timbalan Pendakwa Raya Wan Muhammad Fitri Wan Azizan memberitahu mahkamah laporan kimia dan bedah siasat kes itu belum diperolehi.

Berikutan itu, tidak ada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang hadir tanpa diwakili peguam selepas kertas pertuduhan terhadap dirinya dibacakan.

Majistret Ferhansha Farene Mohd Ferdaus menetapkan 15 Ogos sebagai tarikh sebutan semula sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat kes terbabit disiapkan.

Pihak pendakwaan mencadangkan tertuduh tidak diikat jamin mengambil kira faktor keselamatan, namun mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan dua penjamin tempatan.

Tertuduh juga diperintahkan supaya melapor diri kepada pegawai penyiasat kes setiap dua minggu sekali, lesen memandunya digantung dan pasport diserah kepada mahkamah.

Untuk rekod, polis menahan reman tertuduh selama empat hari pada 9 Julai untuk siasatan dan kes ini juga mendapat liputan meluas media serta menarik perhatian ramai.

Advertisement