Anda di sini

Rumah terbakar: Lima sekeluarga selamat

Advertisement
ROZMAN (empat kiri) dan Bashir (lima kiri) melawat mangsa kebakaran di Kampung Sungai Lada, Khamis lalu.
ROZMAN (empat kiri) dan Bashir (lima kiri) melawat mangsa kebakaran di Kampung Sungai Lada, Khamis lalu.

LABUAN: Lima sekeluarga terselamat apabila rumah mereka hangus dalam kebakaran di Kampung Sungai Lada, pada malam Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 malam itu, keluarga mangsa Pitah Yamin bersama isteri dan tiga anaknya tinggal sehelai sepinggang selepas gagal menyelamatkan harta benda kerana api marak dengan cepat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Labuan, Zainal Madasin berkata, empat buah jentera dengan kekuatan 17 anggota termasuk dua anggota bomba sukarela diketuai Penguasa Bomba Muhammad Azman Awang dikejarkan ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan.

Katanya, pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya pada pukul 1.15 pagi.

Bagaimanapun katanya, setibanya di tempat kejadian rumah struktur tidak kekal berukuran 30X40 kaki itu telah pun terbakar 75 peratus.

“Pemeriksaan lanjut mendapati rumah tersebut dihuni oleh lima keluarga termasuk tiga kanak-kanak berjaya menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan ketika kejadian berlaku,” katanya.

Tambah Zainal, pihak bomba masih lagi menjalankan siasatan mengenai punca dan jumlah kerugian.

Sementara itu, Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Datuk Isli bersama Ahli Dewan Negara Senator Datuk Haji Bashir Haji Alias meluangkan masa menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran.

Advertisement