Anda di sini

Hospital Columbia Asia jayakan 356 pembedahan atasi sumbing di Bintulu

Advertisement
 Ibu bapa dan pesakit merakam kenangan bersama Yeoh, Dr Kim, Dr Joseph (berdiri, tengah), pakar-pakar bedah, jururawat kanan, para penyumbang serta kakitangan Hospital Columbia Asia.
UNTUK ALBUM: Ibu bapa dan pesakit merakam kenangan bersama Yeoh, Dr Kim, Dr Joseph (berdiri, tengah), pakar-pakar bedah, jururawat kanan, para penyumbang serta kakitangan Hospital Columbia Asia.

BINTULU: Hospital Columbia Asia telah melaksanakan 356 pembedahan ke atas pesakit sumbing bibir dan lelangit sejak beberapa tahun lepas di mana hasilnya mendapat maklum balas baik daripada ibu bapa serta mencapai kejayaan memberangsangkan.

Pengurus Besar Wilayah Hospital Columbia Asia Miri Yeoh Kim Looi berkata, sejak 2004 iaitu 14 tahun lepas, mereka telah menguruskan 356 kes dan mencapai kejayaan yang baik.

“Maklum balas yang kami terima memberangsangkan di mana ibu bapa pesakit sangat gembira dengan usaha ini dan pagi ini kami menerima empat pesakit baharu yang datang mendaftar.

“Selebihnya adalah pesakit yang mendapat rawatan susulan memandangkan pembedahan sumbing bibir dan lelangit ini perlu menjalani beberapa peringkat pembedahan (untuk sembuh dengan sempurna),” ujarnya pada sidang media sempena Majlis Penyampaian Cek Projek Amal Sumbing Bibir dan Lelangit Ke-19 di Hospital Columbia Asia Bintulu semalam.

Projek amal tersebut telah dilaksanakan untuk kali kedua bermula semalam hingga Ahad ini.

Yeoh berkata, pihaknya telah mendaftar 18 pesakit tetapi pengurusannya akan bergantung kepada pasukan perubatan di sini mengenai berapa ramai yang akan berjaya dibedah.

Dalam pada itu, Pakar Bedah Cleft Plastic Surgery Sdn Bhd Hospital Pantai Kuala Lumpur Dr Kim K Tan berkata, pesakit akan sembuh secara normal seminggu selepas sekali pembedahan.

“Pembedahan pesakit ini bergantung kepada jenis, keadaan sumbing itu yang kadang-kadang membabitkan hanya sebelah dan ada dua belah serta kadang-kadang membabitkan lelangit di dalamnya, yang biasa adalah sebelah bibir dan lelangit,” jelasnya.

Katanya, pesakit berkeadaan begitu perlu menjalani pembedahan untuk membetulkan bibir dan lelangit merangkumi dua pembedahan dan untuk gam adalah pembedahan kali ketiga secara minimumnya antaranya untuk kanak-kanak membabitkan umur lapan hingga sembilan tahun.

Mengenai kos pembedahan seorang pesakit katanya, untuk sektor swasta ia membabitkan kos antara RM8,000 hingga RM10,000 secara keseluruhannya.

Tambahnya, projek ini adalah kali ke-19 di Sarawak, yang kedua di Bintulu sejak 2004 dan seramai 500 pesakit telah diurus oleh pihaknya.

“Kami berbangga dapat kembali semula ke sini untuk melihat keadaannya dan kanak-kanak membesar dengan harapan kami akan dapat terus membantu pesakit sumbing bibir dan lelangit di negeri ini,” katanya.

Terdahulu Pengurus Besar Hospital Columbia Asia Bintulu Hazlim Sham Ibrahim berkata, ini merupakan projek amal kedua diadakan di Bintulu dan yang pertama telah diadakan pada 2011.

“Tahun ini kami telah mendaftar 18 pesakit daripada pelbagai kaum (berumur satu tahun hingga 18 tahun ke atas) dan saya berharap pesakit yang menjalani pembedahan ini berasa selesa di sini serta menyertai projek yang kami laksanakan,” katanya.

Turut hadir Perunding Anaesthesiologist Hospital Pantai Kuala Lumpur Dr Joseph A Manavalan dan beberapa pasukan pakar lainnya.

Projek amal ini dibiayai Persatuan Sumbing Bibir dan Lelangit Malaysia (CLAPAM) dan dianjurkan dengan kerjasama Hospital Columbia Asia Bintulu.

Hospital Columbia Asia menyediakan tempat untuk pembedahan dan kemudahan serta bantuan lain yang diperlukan untuk pesakit dan penjaga mereka dalam tempoh pembedahan itu.

Projek ini menyasarkan bantuan untuk kanak-kanak dari kawasan luar bandar yang dilahirkan dengan keadaan bibir dan lelangit sumbing dengan jumlah pendapatan keluarga kurang RM2,000 sebulan.

Sejumlah 15 syarikat dan individu menyumbang untuk projek itu dengan keseluruhan sumbangan ialah RM45,850, di mana pengurusan Hospital Columbia Asia menyumbang sebanyak RM10,000.

Penyumbang lain terdiri daripada Harbour Link Group, Jenny Wee, Jong Nam Kiau, Pui Tin Soon, Lai Ah Huat, Datuk Bandar Bandaraya Miri Adam Yii, Bintulu Edible Oil Sdn Bhd, Spring Medicare Sdn Bhd, Berry Medical Healthcare Sdn Bhd, Press Metal Sdn Bhd, Naim Land Sdn Bhd, Bintulu Port Authority, Menteri Muda Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin dan Suasana Mentari.

Advertisement