Anda di sini

Domain peribumi diiktiraf

Advertisement
 Uggah pada sidang media selepas DUN meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Tanah (Pindaan) 2018, semalam.
BOLEH GUNA, BOLEH DIMILIKI: Uggah pada sidang media selepas DUN meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Tanah (Pindaan) 2018, semalam.

KUCHING: Peribumi Sarawak boleh mengemukakan tuntutan sehingga 1,000 hektar atau 2,500 ekar untuk mendapatkan hak pemilikan tanah di domain kawasan peribumi (NTD) yang meliputi Pemakai Menoa (PM) dan Pulau Galau (PG).

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, tuntutan itu boleh dibuat selepas pindaan Sekyen 6A(3) Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Tanah (Pindaan) 2018 diluluskan sebaik RUU itu mendapat undian majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.

Katanya, di bawah pindaan Seksyen 6A(3) RUU itu, PM dan PG yang sebelum ini tidak mempunyai kuasa undang-undang (dalam Kanun Tanah), kini mempunyai hak-hak ‘usufructuary’ dan diberi surat hak milik tanah guna sama peribumi kekal tanpa sebarang premium, sewa atau caj-caj lain dikenakan.

“Sekarang domain kawasan peribumi adalah ‘tau ngena, tau ngempu’ (boleh digunakan dan dimiliki), bukannya ‘tau ngena, tang nak tau ngempu’ (boleh digunakan tetapi tidak boleh dimiliki),” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas RUU Kanun Tanah (Pindaan) 2018 diluluskan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Menjelas lanjut, Uggah berkata, di bawah pindaan Seksyen 6A(3) menteri bertanggungjawab dengan kelulusan Majlis Mesyuarat Negeri Sarawak (MMNS), mengikut undang-undang membenarkan tuntutan hingga 1,000 hektar atau 2,500 ekar.

“Hakikatnya, inilah hasrat kita kerajaan negeri dan ia diperjelaskan menerusi pindaan RUU ini dan hak surat milik kekal di bawah Seksyen 6A(3) tidak sama dengan yang dikeluarkan di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah,” katanya.

Beliau memberitahu, pindaan RUU Kanun Tanah (Pindaan) 2018 juga membatalkan dasar ‘indefeasibility’ (tidak boleh disangkal) kerana perbalahan isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) antara kerajaan negeri dan pemilik tanah berlaku apabila surat pajakan sementara (PL) dikeluarkan turut melibatkan kawasan NCR yang diiktiraf.

“Contoh yang ketara ialah kes TR Nyutan, di mana kawasan NCR yang diiktiraf berada dalam kawasan PL tetapi ia tidak boleh dikeluarkan disebabkan prinsip ‘indefeasibility’.

“Selepas rundingan yang panjang, prinsip ‘indefeasibility’ ini digugurkan dalam Kanun Tanah, maknanya sebelum surat PL dikeluarkan, harus dipastikan tiada NCR termasuk domain kawasan peribumi diiktiraf berada dalam lingkungan PL.

“Jika tidak, surat PL tidak dapat dikeluarkan di bawah Seksyen 123 Kanun Tanah,” jelasnya.

Signifikan ketiga pindaan RUU itu katanya, ialah pemansuhan peruntukan dalam Ordinan Kanun Tanah (Pindaan) 2007 yang belum lagi berkuat kuasa seperti Seksyen 5(2)(f) yang menetapkan NCR boleh dituntut dengan kaedah lain dibenarkan undang-undang.

Beliau turut memaklumkan, undang-undang baharu itu akan dibawa ke mesyuarat kabinet negeri akan datang untuk diluluskan seterusnya diwartakan.

“Kabinet akan tentukan bila undang-undang baharu ini akan dikuatkuasakan. Kita akan membawanya ke mesyuarat kabinet negeri akan datang.

“Sebaik dikuatkuasakan, komuniti peribumi yang ada domain kawasan peribumi dengan bukti-bukti sah boleh mengemukakan tuntutan kepada kerajaan negeri untuk diproses,” katanya.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah ketika membentangkan RUU itu Rabu lalu berkata, pada mulanya kerajaan negeri bersetuju mengehadkan tuntutan keluasan domain kawasan peribumi kepada 500 hektar.

Bagaimanapun katanya, semasa RUU ini dibahaskan, 22 ahli Dewan merayu agar jumlah itu dikaji semula dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bersetuju untuk menambah had liputan itu sehingga 1,000 hektar.

“Saya merayu kepada peribumi Sarawak memberi undang-undang baharu ini peluang. Saya sekali lagi merayu kepada semua orang jangan mempolitik dan mensensasikan isu-isu ini untuk menghasut peribumi membenci kerajaan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement