Anda di sini

Puluhan ribu penyokong berpesta rai kemenangan Perancis di Paris

Advertisement
 Puluhan ribu penyokong berpesta meraikan kejayaan Perancis melangkah ke pentas final selepas menewaskan Belgium di Champs-Elysees, Paris kelmarin. — Gambar Reuters
SUASANA HEBAT: Puluhan ribu penyokong berpesta meraikan kejayaan Perancis melangkah ke pentas final selepas menewaskan Belgium di Champs-Elysees, Paris kelmarin. — Gambar Reuters

SAINT PETERSBURG, Rusia: Perancis melangkah ke final Piala Dunia selepas menewaskan Belgium pada perlawanan separuh akhir di sini Selasa lepas, sekali gus membangkitkan pesta kegembiraan di kota Paris ketika puluhan ribu penyokong membanjiri jalan-jalan.

Dalam situasi yang mengimbau kejayaan Perancis menjulang Piala Dunia 1998, penyokong ‘berkampung’ di Champs-Elysees dan sekitar Arc de Triomple dengan mengibarkan bendera dan membakar suar.

Tandukan Samuel Umtiti sudah memadai untuk anak buah Didier Deschamps menewaskan Belgium 1-0.

Deschamps, 49, kini hanya kurang satu kemenangan untuk memenangi Piala Dunia – 20 tahun selepas beliau menjadi kapten Perancis yang menjulang trofi itu pada kejohanan yang berlangsung di tanahairnya.

Perancis akan menanti pemenang perlawanan separuh akhir kedua di antara Croatia menentang England di final yang akan berlangsung di Stadium Luzhniki di Moscow.

Belgium memulakan perlawanan dengan meyakinkan tetapi tandukan Umtiti dari satu tendangan sudut pada minit ke-51 untuk menyelubungi aksi cemerlang Kylian Mbappe dan Antoine Griezmann.

Seorang lagi wira Perancis, Hugo Lloris, beraksi cemerlang apabila menepis satu cubaan Toby Alderweireld pada separuh masa pertama dan kemudian menyelamat rembatan Alex Witsel ketika Belgium meningkatkan asakan pada akhir permainan.

Deschamps berkata beliau berasa gembira untuk mempunyai peluang menebus kekecewaan di final Euro 2016, yang dimenangi oleh Portugal di Paris.

“Saya berasa sangat gembira dengan pemain saya,” kata beliau. “Ia adalah sukar menentang pasukan Belgium yang kuat. Saya memberi tabik kepada pemain dan kakitangan kejurulatihan saya.”

“Final perlu dimenangi kerana kami masih belum menghilangkan kekecewaan kalah di Euro dua tahun yang lalu,” tambah beliau.

Perancis memulakan kejohanan di Rusia dengan hambar, bergelut menjaringkan gol di pusingan pertama tetapi meledak dengan kemenangan 4-3 ke atas Argentina di pusingan kedua.

Dengan gandingan pemain muda dan pemain berpengalaman, mereka mengawal perlawanan suku akhir menentang Uruguay sebelum menang 2-0.

Selain dari gol kemenangan, gandingan Umtiti dengan Raphael Varane di pertahanan tengah Perancis juga terus menyerlah.

Di jentera serangan, penyerang remaja, Mbappe, sekali lagi menjadi ancaman utama di pertahanan Belgium tetapi ia sekali lagi malam yang hambar buat penyerang veteran, Olivier Giroud.

Giroud belum menjaringkan gol dari lapan perlawanan dan masih belum mempunyai sebarang cubaan ke pintu gol lawan di Rusia.

Kekalahan sangat mengecewakan buat Belgium, gagal di separuh akhir buat kali kedua dalam sejarah mereka ketika masa untuk “generasi emas” mereka semakin singkat.

Kapten pasukan, Eden Hazard, mempamerkan aksi memberangsangkan tetapi Kevin De Bruyne kelihatan ‘tertinggal’ kasut ajaib beliau dengan Romelu Lukaku juga hilang rentak berbanding apa yang beliau tunjukkan di awal kejohanan walaupun Belgium memiliki penguasaan bola lebih banyak berbanding Perancis.

Jurulatih Belgium, Roberto Martinez kecewa dengan gol bolos dari tendangan sudut.

“Saya tidak dapat meminta lebih banyak lagi tentang sikap pemain,” kata beliau. “Jika anda mahu tewas satu perlawanan, sesuatu yang boleh diterima, ialah dengan cara di mana pemain memberikan segala-galanya, mencuba sehingga wisel penamat.”

Penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois beraksi tangkas sebelum gol Umtiti untuk mengekalkan kedudukan tanpa gol pada masa rehat.

Beliau menepis satu cubaan Benjamin Pavard selepas satu umpanan cantik Mbappe dan menafikan kemenangan dengan gol lebih besar Perancis apabila menepis cubaan Griezmann dan Corentin Tolisso pada minit kecederaan. — AFP

Advertisement