Anda di sini

Proton jangka 109 pengedar tingkatkan kemudahan menjelang hujung tahun

Advertisement

KLANG: Proton Holdings Bhd (Proton) menjangka, 109 pengedarnya akan meningkatkan kemudahan mereka daripada 1S (jualan) atau 2S (servis dan alat ganti) kepada pusat sehenti penuh 3S atau 4S (jualan, servis, alat ganti dan mengecat) menjelang hujung tahun.

Naib Presiden Jualan dan Pemasaran, Abdul Rashid Musa, berkata setakat hari ini, syarikat berkenaan sudah meluluskan permohonan daripada 88 pengedar untuk proses peningkatan ini, yang bersamaan dengan 80 peratus daripada jumlah keseluruhan 109 pengedar yang disasarkan.            

“Melalui proses peningkatan yang berjalan ini, kami yakin dapat menyediakan ruang servis dan jualan yang lebih baik kepada pelanggan.

“Kami memerlukan juruteknik berkemahiran untuk memberikan perkhidmatan kepada pelanggan memandangkan kereta kami pada masa ini lebih canggih dengan ciri-ciri lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran pusat 3S baharu Proton oleh Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong, di Jalan Kapar, di sini, semalam.

Proton mempunyai 150 pengedar di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

Abdul Rashid berkata, Proton mencatatkan pertumbuhan jualan bulan ke bulan yang baik sebanyak 50 peratus sejak Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berkadar sifar pada 1 Jun.

Bercakap mengenai sasaran hujung tahun Proton, beliau berkata, ia masih terlalu awal untuk diulas kerana ia bergantung kepada kadar baharu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan dilaksanakan pada September.

Sementara itu, pusat 3S baharu berkenaan yang dikendalikan oleh Pantai Bharu Corporation Sdn Bhd, bertindak sebagai pusat sehenti kepada pelanggan untuk perkhidmatan jualan, servis dan alat ganti yang dilengkapkan dengan 12 ruang servis dan lapan pengangkat dengan ruang duduk untuk 35 pelanggan pada satu-satu masa. — Bernama

Advertisement