Anda di sini

PM Jepun lawat penduduk di zon bencana banjir

 Abe (kanan) menenangkan salah seorang penduduk di pusat perlindungan sementara selepas bencana banjir                di Mabi, wilayah Okayama, Jepun semalam. — Gambar AFP
BERI SEMANGAT: Abe (kanan) menenangkan salah seorang penduduk di pusat perlindungan sementara selepas bencana banjir di Mabi, wilayah Okayama, Jepun semalam. — Gambar AFP

KURASHIKI: Perdana menteri Jepun semalam berjumpa dengan orang yang terpaksa meninggalkan kediaman mereka disebabkan oleh hujan dahsyat yang sudah mengorbankan sekurang-kurangnya 179 orang, manakala kerajaan berkata ia akan meneliti semula pelan pengurusan bencana.

Perdana Menteri Shinzo Abe, yang membatalkan lawatan asing yang dirancang pada minggu ini selepas bencana itu bertambah buruk, berjumpa dengan sebahagian daripada ribuan orang yang masih tinggal di pusat perlindungan sewaktu melakukan lawatan ke kawasan Okayama yang musnah akibat banjir.

Beliau tidak membuat sebarang kenyataan awam, bercakap seketika dan secara peribadi dengan individu, termasuk seorang wanita tua yang tunduk sedikit apabila perdana menteri mendekati-nya.

Puluhan orang masih hilang dan bilangan kematian dalam bencana berkaitan cuaca paling buruk di Jepun dalam tempoh lebih tiga dekad dijangka akan meningkat lagi.

Dengan persoalan yang timbul mengenai kenapa hujan itu menyebabkan begitu banyak kematian, jurucakap utama kerajaan Yoshihide Suga berkata dasar peng-urusan bencana akan diteliti semula.

“Sejak beberapa tahun lalu, kita telah melihat kerosakan akibat hujan lebat yang jauh lebih teruk berbanding pada tahun-tahun lalu,” katanya.

“Kita perlu meneliti semula apa yang kerajaan boleh buat untuk mengurangkan risiko.”

Usaha menyelamat sudah mula berkurangan, hampir seminggu selepas hujan bermula, dan harapan bahawa mangsa selamat baharu mungkin akan dijumpai sudah mula pudar.

Lebih 10,000 orang masih tinggal di pusat perlindungan di beberapa bahagian yang besar di tengah dan barat Jepun, kata media tempatan, termasuk di sebuah sekolah di bandar Kurashiki dalam daerah Okayama.

Kira-kira 300 orang bermalam di Sekolah Rendah Okada, kebanyakan mereka tidur di atas tikar biru yang diletakkan di dalam gim sekolah.

Hiroko Fukuda, 40, ada di sana bersama suaminya tetapi mereka sudah menghantar anak perempuan mereka yang masih kecil untuk tinggal bersama saudara-mara selepas dia menjadi begitu tertekan disebabkan oleh evakuasi itu sehinggakan dia berhenti makan.

Keluarga itu meninggalkan kediaman mereka pada malam Jumaat lalu, dan kembali Isnin lepas untuk menjumpai seluruh tingkat bawah ditenggelami air banjir yang merosakkan segalanya daripada barangan elektronik kepada gambar.

“Kami dapat menerima kehilangan barang seperti peralatan rumah, tetapi memori,” katanya dengan suara yang semakin perlahan.

“Kami tidak dapat mengembalikan gambarnya pada usia tiga tahun,” katanya menge-nai anak perempuannya.

“Ia menyedihkan kerana memori kami tiada lagi.”

Antara barang yang dirosakkan oleh banjir adalah baju kimono Fukuda, termasuk “furisode” yang dipakai pada waktu istimewa.

“Saya mahu anak saya memakainya,” kata Fukuda dengan mata yang bergena-ngan air mata.

Hujan yang begitu lebat selama berhari-hari mengubah jalan menjadi sungai, dan ombak lumpur mengalir di lereng bukit sambil membawa kereta dan pokok bersamanya.

Di Kurashiki, banjir yang surut telah meninggalkan lapisan kelodak di atas segalanya yang ditenggelami air.

Kereta yang renyuk dan pokok tumbang yang dialih oleh kru kerja ke tepi sebuah lebuh utama membentuk timbunan puing.

Walaupun hujan semakin reda, amaran banjir baharu masih dikeluarkan semalam.

Bandar Fukuyama di daerah Hiroshima mengeluarkan perintah evakuasi kerana bimbang sebuah tasik kecil akan melimpahi tebingannya.

Perintah yang sama dikeluarkan kelmarin di bandar Fuchu, juga di Hiroshima, selepas kayu hanyut  menimbun dalam sebatang sungai, yang menyebabkan air melimpahi tebingan dan menenggelami kawasan kejiranan sekeliling.  

Pihak berkuasa menurun taraf perintah itu semalam tetapi memberi amaran bahawa risiko banjir masih wujud.

Pegawai kerajaan turut memberi amaran tentang kemungkinan tanah runtuh akan berlaku lagi, di mana hujan lebat boleh melonggarkan tanah di lereng bukit sekitar kawasan perumahan. — AFP