Anda di sini

Perluaskan lagi domain kawasan peribumi: Dennis

Advertisement

KUCHING: Penentuan domain kawasan peribumi  dalam Rang Undang-Undang Kanun Tanah (Pindaan) 2018 hendaklah bervariasi mengikut keluasan yang sesuai dengan keperluan komuniti yang terlibat dan bukannya tetap kepada 500 hektar sahaja.

Ini yang disuarakan oleh para Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) khususnya di pihak Kerajaan Sarawak yang menuntut batas keluasan itu diperluaskan lagi.

ADUN Telang Usan Dennis Ngau mencadangkan agar batas yang ditetapkan untuk setiap rumah panjang atau kampung itu perlu diperluaskan mengikut bilangan pintu rumah panjang, jumlah penduduk serta saiz kampung yang terlibat.

“Saya berharap Kerajaan Sarawak akan mendengar permintaan ini, kerana ia sepatutnya mengikut kawasan rumah panjang dan kampung mereka, yang telah diakui menjadi kepunyaan mereka sebelum ini,” katanya ketika membahaskan mengenai rang undang-undang berkenaan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Menjelaskan lanjut, Dennis yang berasal daripada kaum Orang Ulu berkata beberapa rumah panjang atau kampung mungkin mempunyai kawasan seluas 200 atau 300 hektar tetapi ada juga yang mempunyai kawasan yang lebih besar.

“Misalnya di Ulu Baram, keluasan tanah di sini adalah besar dan oleh sebab itu, saya bercadang agar batas yang ditetapkan dalam Kanun Tanah (Pindaan) 2018 ini mengikut bilangan pintu kerana sesetengah rumah panjang mempunyai 250 pintu dengan jumlah penduduk mencecah 3,000 orang,” katanya.

Manakala, ADUN Engkilili Dr Johnichal Rayong Ngipa berpendapat bahawa 500 hektar untuk satu komuniti mungkin tidak mencukupi bagi penghuni rumah panjang yang mempunyai 100 atau lebih pintu untuk mencari makanan, memburu, menangkap ikan dan bertani.

“Beberapa penempatan di lembah sungai adalah besar manakala sesetengahnya pula lebih kecil.

“Maka, 500 hektar hampir tidak cukup untuk penduduk rumah panjang mencari makanan, memburu, menangkap ikan dan bercucuk tanam.

“Jadi, saya rasa mereka perlu diberikan sekurang-kurangnya 2,500 ekar untuk mengembangkan aktiviti pertanian,” katanya yang turut membahaskan rang undang-undang berkenaan.

Sementara itu, ADUN Tupong Fazzrudin Abdul Rahman menyampaikan penghargaan kepada ‘saudara-saudara Iban’ Sarawak kerana perjuangan mereka ke atas Pemakai Menoa dan Pulau Galau yang telah menyebabkan Kerajaan Sarawak menubuhkan sebuah jawatankuasa bukan sahaja untuk melihat dan melindungi hak-hak Iban tetapi juga meliputi seluruh kumpulan etnik negeri termasuk Melayu dan Melanau.

“Ini tidak boleh dipolitikkan kerana ia akan menjejaskan perpaduan kita. Ia sangat mudah dan adalah tidak bertanggungjawab berjuang untuk hanya satu kumpulan tanpa mempertimbangkan yang lain,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement