Anda di sini

Penerjun Sarawak cemerlang pada kejohanan di Singapura

Advertisement
 (Dari kanan) Rosatimah, Stella dan Carlysle bergambar kenangan bersama enam penerjun Sarawak.
PENGALAMAN BERHARGA: (Dari kanan) Rosatimah, Stella dan Carlysle bergambar kenangan bersama enam penerjun Sarawak.

KUCHING: Barisan penerjun elit muda Sarawak menampil aksi cemerlang pada Kejohanan Terjun Kebangsaan Singapura Ke-9 yang diadakan di OCBC Singapura baru-baru ini dengan membawa pulang tujuh pingat emas, dua perak dan satu gangsa.

Kejohanan berlangsung dari 29 Jun hingga 1 Julai lepas menyaksikan Sarawak menghantar enam penerjun iaitu Enrique Maccartney Harold, Bertrand Rhodict Lises, Eilisha Rania Abrial Rajagopal, Awang Sharzan Nasrin Awang Nasaruddin, Elvis Priestly Clement dan Dayang Nursharzyra Awang Nasaruddin.

Mereka diiringi Pengurus Pasukan merangkap Koordinator Sukan Stella James Martin, Ketua Jurulatih Terjun MSNS Rosatimah Muhammad dan Penolong Ketua Jurulatih Terjun MSNS Carlysle Chan Wee Chiek.

Enrique berjaya menghadiahkan dua emas dalam acara FINA Age B 3m Boys dan FINA Age B Platform Boys.

Turut menyumbang dua emas Bertrand dan Eilisha yang merupakan pemenang emas SUKMA 2016.

Bertrand meriah emas menerusi acara FINA Age C Platform Boys dan FINA Age C 3m Boys manakala Eilisha menggondol emas dalam acara FINA Age C Platform Girls dan FINA Age C 3m Girls.

Satu lagi emas Sarawak diperolehi dalam acara FINA Age C 1m Boys menerusi Elvis Priestly yang turut meraih perak dalam acara FINA Age C Platform Boys.

Awang Sharzan Nasrin turut menghadiahkan perak dalam acara FINA Age C 1m Boys manakala gangsa dikutip gandingan Enrique dan penerjun dari New Zealand, Theo Smith dalam acara FINA A/B Synchronised 3m Boys.

Perbadanan Sukan Sarawak (PSS) dan MSNS menghantar penyertaan pada kejohanan kali ini sebagai pendedahan para penerjun menjelang temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Perak yang dijadual diadakan pada 12 hingga 22 September depan.

Selain Sarawak, kontinjen negara turut diwakili Negeri Sembilan manakala negara luar yang turut serta termasuk Korea Selatan, Filipina, Thailand, Macau, New Zealand (Wellington, Auckland, Otakou), Kazakhstan dan tuan rumah Singapura.

Advertisement