Anda di sini

Penduduk ESSZone disaran muat turun K3M

Advertisement

LAHAD DATU: Komuniti maritim di Sabah khususnya penduduk sekitar di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) disaran memuat turun aplikasi Kesedaran Keselamatan Komuniti Maritim (K3M) secara percuma di Google Play Store ke telefon mudah alih untuk bantuan keselamatan di laut yang berkesan.

Panglima Wilayah Laut 2, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Muda Datuk N. Ganesh berkata dengan menekan butang SOS pada aplikasi K3M dapat membantu memendekkan tempoh responsif anggota keselamatan tiba di lokasi kecemasan.

“Ini antara aspek untuk meningkatkan tahap keselamatan di ESSZone tetapi kami juga memerlukan bantuan komuniti maritim di sini untuk muat turun aplikasi ini dan daftar masuk sebelum menggunakannya,” kata beliau.

Ganesh berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri di atas Kapal Auksiliari Tun Azizan sempena pertemuan program Rondaan Maritim Trilateral antara  kapal TLDM KD Todak dengan kapal Tentera Laut Filipina (TLF), BRP Miguel Malvar di perairan sempadan dekat sini, semalam.

Ganesh berkata SOS dari K3M itu akan terus dihantar ke pusat operasi TLDM dan anggota yang bertugas akan menerima tanda menunjukkan berlaku insiden kecemasan.

“Menerusi itu, kami boleh tahu lokasi sebenar serta anggaran masa  untuk tiba ke lokasi kejadian, dan jika jauh kami akan hantar (bantuan) helikopter, kalau dekat kami hantar bot tempur,” katanya dan menambah penggunaan aplikasi itu di ESSZone masih kurang.

Ganesh berkata aplikasi dibangunkan TLDM bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) itu yang disasarkan dimuat turun 70,000 kali pada tahun ini, dilengkapi dengan tiga bahasa iaitu Melayu, Cina dan Inggeris selain maklumat terkini dunia maritim.

“Kalau ada keperluan untuk tambah bahasa lain, akan ditambah dan setakat ini K3M telah diakses kira-kira 50 peratus komuniti maritim di Malaysia sejak dilancarkan tahun lalu,” katanya K3M itu turut akan diperluaskan kepada pelancong.

Dalam pada itu Ganesh berkata selain K3M, TLDM ketika ini turut memperkenalkan ‘Sea Alert’ kepada persatuan kapal-kapal Malaysia.

“Sea Alert dipasang pada desktop kapal serta kami telah jalankan simulasi dan selepas itu ada kejadian sebenar berlaku, dapat ditangani segera,” katanya lagi.

Sementara itu, katanya pihaknya dalam proses turun padang bagi menerangkan aplikasi K3M serta Sea Alert kepada komuniti maritim.

“Kapal-kapal kami (TLDM) yang membuat rondaan akan berjumpa nelayan, penduduk pulau dan pelancong untuk menerangkan bagaimana fungsi aplikasi ini,” katanya.

Beliau berkata aplikasi itu memudahkan proses laporan dan penyaluran maklumat bagi memelihara kesejahteraan orang awam khususnya yang melibatkan aktiviti di laut. — Bernama

Advertisement