Anda di sini

Pendirian Malaysia mengenai CPTPP akan dibuat tidak lama lagi

KUALA LUMPUR: Pendirian kerajaan Malaysia mengenai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) akan dimuktamadkan oleh Kabinet tidak lama lagi.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Ignatius Darell Leiking berkata, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sedang meneliti perkara itu.

“Beliau telah memberikan pandangan beliau ketika berada di Jepun. Beri kami sedikit masa untuk memahami perjanjian itu, sudah tentu Perdana  Menteri akan membuat keputusan mengenai perkara itu tidak lama lagi,” katanya, sambil merujuk kepada saranan Dr Mahathir untuk mengkaji semula CPTPP yang berpandangan tidak memberi kelebihan kepada negara ekonomi kecil.

Darell berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat daripada delegasi dari Singapura, Korea Selatan, Australia dan United Kingdom di sini kelmarin.

Darrel berkata, Malaysia belum memilih untuk keluar daripada perjanjian itu tetapi kerajaan baharu memerlukan masa untuk memastikan ia memberi manfaat kepada negara.

Ketua Setiausaha MITI, Datuk Isham Ishak berkata, selepas menandatangani perjanjian itu pada Mac tahun ini, akan terdapat proses ratifikasi yang memerlukan Malaysia melaksanakan beberapa perubahan dalam undang-undang dan peraturan yang berkaitan penguatkuasaan perjanjian itu pada Februari tahun depan.

“Malaysia mungkin terlepas tarikh penguatkuasaan, berikutan kami perlu membuat beberapa pindaan ke atas undang-undang dan peraturan pada sesi Parlimen akan datang, tetapi kita masih boleh menyertai perjanjian itu selepas ratifikasi dilakukan,” katanya.

Beliau berkata, negara  yang memilih untuk keluar daripada perjanjian itu selepas menandatangani perjanjian tersebut tidak akan dikenakan apa-apa penalti tetapi perlu  memberi pemberitahuan yang sewajarnya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Andrew Goledzinowski berkata, Malaysia dan Australia berharap dapat mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua negara di bawah rangka kerja dua hala yang kukuh.

Kedua-dua negara turut membincangkan mengenai hubungan serantau, termasuk CPTPP dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

“Kami optimis terhadap hasil yang positif ke atas ratifikasi,” katanya.

Goledzinowski berkata, Australia yakin dengan kerajaan baharu dan optimis mengenai langkah kerajaan Malaysia untuk mengkaji semula projek mega.

Misalnya Tun Razak Exchange (TRX) — yang mempunyai kadar penglibatan yang tinggi daripada syarikat Australia, beliau percaya tiada kebimbangan terhadap penelitian kerajaan walaupun perlu melalui audit.

Mengenai pelaburan, katanya Malaysia mempunyai banyak untuk ditawarkan, termasuk kemudahan menjalankan perniagaan, tenaga kerja berkemahiran tinggi dan asas kos yang rendah.

Selain sektor kewangan, Goledzinowski berkata Australia turut melihat peluang untuk mengukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan dengan Malaysia dalam sektor pelancongan, hospitaliti, pembinaan, tenaga dan pendidikan. — Bernama