Anda di sini

MATTA Fair Miri 2018 diunjur jana jualan RM3 juta

Advertisement

MIRI: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Cawangan Sarawak optimis meraih jualan RM3 juta melalui penganjuran MATTA Fair Miri 2018 di Emart Riam, di sini pada 27 hingga 29 Julai ini meskipun dalam keadaan ekonomi tidak menentu kini.

Pengerusi penganjurnya Wilson Chiam Tak Chee berkata, keyakinan itu bersandarkan dengan kapasiti jumlah pempamer yang menyertai Matta Fair kali ini iaitu peningkatan sebanyak 40 gerai pameran berbanding 25 gerai tahun lepas.

“Penganjuran dibuat pada bulan ini membolehkan mereka yang berminat melihat kepada tawaran istimewa yang ditawarkan bagi pakej pelancongan sempena Tahun Baharu Cina (TBC) dan musim cuti persekolahan.

“Keyakinan itu juga bersandarkan kepada gaya hidup rakyat Malaysia yang gemar melancong semasa TBC dan cuti sekolah,” katanya pada sidang media di sini semalam.

MATTA Fair Miri yang bakal berlangsung selama tiga hari bermula jam 10 pagi hingga 10 malam akan disertai 13 pengusaha pelancongan dan lima syarikat perbankan.

Pameran ini dijangka dirasmikan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah pada 27 Julai, jam 11.30 pagi.

Wilson menambah, MATTA Fair Miri ialah satu platform terbaik bagi menggalakkan mereka yang gemar melancong untuk membeli pakej pelancongan daripada ejen-ejen pelancongan berlesen.

“Pameran ini peluang terbaik kepada industri pelancongan untuk mempromosikan pelbagai pakej pelancongan di samping membolehkan orang ramai mendapatkan tawaran terbaik pakej pelancongan di bawah satu bumbung.

“MATTA Cawangan Sarawak juga mengajak mereka yang menjalankan perniagaan berasaskan pelancongan dan pengembaraan untuk menyertai pameran ini,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi pejabat sekretariat MATTA Cawangan Sarawak di talian 082-545298 atau e-mel [email protected].

Advertisement