Anda di sini

Makmal kesihatan awam perlu ditubuh di Sarawak

Advertisement
 Dr Annuar (kiri) pada sidang media di DUN, semalam.
PERLU DITUBUH: Dr Annuar (kiri) pada sidang media di DUN, semalam.

KUCHING: Sebuah makmal kesihatan awam perlu ditubuhkan di Sarawak untuk mendiagnosis serta mengesahkan wabak penyakit termasuk rabies.

Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Dr Annuar Rapa’ee berkata, pada masa ini spesimen bagi kes rabies misalnya perlu dihantar ke Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) di Ipoh, Perak yang memerlukan masa lebih lama untuk pengesahan.

“Kita mempunyai makmal di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) untuk mendiagnosis jangkitan rabies tetapi ia tidak diiktiraf untuk memberi pengesahan.

“Oleh itu, kita amat memerlukan sebuah makmal khusus pada kadar segera agar tidak lagi perlu menghantar spesimen ke Ipoh,” katanya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Menurut Dr Annuar, Jabatan Kesihatan Sarawak kini sudah mempunyai Unit Epidemiologi di setiap Pejabat Kesihatan Bahagian namun cabang perubatan itu hanya berkaitan dengan statistik, kejadian, pengedaran serta kawalan penyakit dan tiada kaitan dengan diagnosis dan rawatan penyakit.

“Kita mempunyai ahli epidemiologi tetapi tidak pen-ting pada masa ini. Apa yang lebih penting adalah makmal kesihatan awam agar kita dapat menangani sebarang bentuk wabak di Sarawak,” katanya.

Ketika ini, 33 kawasan telah diisytiharkan sebagai kawasan wabak rabies iaitu bahagian Serian, Kuching, Samarahan, Sri Aman dan Sarikei.

Sarawak telah diisytiharkan sebagai kawasan jangkitan rabies sejak 1 Julai tahun lepas, di mana sehingga kini ia telah mengorbankan 10 nyawa.

  • oleh
  • Advertisement