Anda di sini

LPKP Sabah berhasrat tambah bilangan penguat kuasa baharu

Advertisement

TAWAU: Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah berhasrat untuk menambah bilangan kakitangan baharunya khususnya penguat kuasa, dalam usaha memenuhi tuntutan semasa.

Sehingga 31 Disember 2017, lebih 50,000 kenderaan perdagangan seperti bas, teksi dan lori direkodkan negeri ini, namun hanya dua penguat kuasa ditempatkan di setiap pejabat termasuk cawangan di Sandakan dan Tawau.

 Arfian menjawab soalan pemberita, di samping Ketua Cawangan LPKP Tawau Ediyantto T Eddie.
TAMBAH KAKITANGAN: Arfian menjawab soalan pemberita, di samping Ketua Cawangan LPKP Tawau Ediyantto T Eddie.

Pengarah LPKP Sabah Arfian Julian berkata cadangan itu masih pada peringkat kajian penilaian dengan mengambil kira tahap keperluan penambahan kakitangan di negeri ini.

“Kita akan kemukakan cadangan sama ada diluluskan pada tahun ini atau tahun hadapan,” katanya semasa ditemui pada Majlis Rumah Terbuka LPKP Tawau di sini, pada Isnin.

Arfian mengakui wujud keperluan penambahan bilangan kekuatan tenaga kerja LPKP di negeri ini namun kelulusan cadangan itu bergantung kepada keputusan pihak atasan.

Menyentuh isu ‘lori hantu’, beliau berkata kenderaan yang tidak memiliki permit dan cukai jalan terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis.

Ditanya berhubung isu pengusaha atau pemandu bas perjalanan jarak jauh yang mengambil penumpang dari luar terminal, beliau berkata perkara itu dalam pemantauan pihaknya.

“Pengambilan penumpang sepatutnya dilakukan di terminal sahaja, mereka boleh diambil tindakan jika melanggar peraturan ini kerana menyalahi Akta 334 LPKP,” katanya.

Mengulas lanjut, orang ramai yang menyalurkan aduan diminta memberikan butiran lengkap seperti nombor plat kenderaan, lokasi kejadian dan nombor telefon pengadu untuk membolehkan tindakan susulan diambil.

Berhubung perkhidmatan e-hailing pula, Arfian berkata kerajaan sedang mengkaji polisi sesuai untuk membolehkan perkhidmatan terbabit dan teksi menikmati situasi yang adil.

“Permintaan e-hailing sangat tinggi dan kita menggalakkan pengusaha teksi turut menyertainya supaya perkhidmatan mereka lebih meluas kepada pengguna,” katanya.

Advertisement