Anda di sini

Jamal didenda RM400 pecahkan botol arak depan Bangunan SUK

Advertisement
 Jamal (tengah) didenda RM400 oleh Mahkamah Majistret Shah Alam semalam kerana memecahkan sejumlah botol arak menggunakan penukul besi di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) tahun lepas. — Gambar Bernama
BERSALAH: Jamal (tengah) didenda RM400 oleh Mahkamah Majistret Shah Alam semalam kerana memecahkan sejumlah botol arak menggunakan penukul besi di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) tahun lepas. — Gambar Bernama

SHAH ALAM: Mahkamah Majistret di sini semalam mengenakan denda maksimum RM400 ke atas Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos kerana memecahkan sejumlah botol arak menggunakan penukul besi di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) di sini, tahun lepas.

Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin mengenakan hukuman itu selepas Jamal, 48, yang hadir ke mahkamah memakai sut lengkap hitam, menukar pengakuannya kepada bersalah.

Mahkamah turut memerintahkan Jamal yang dikawal ketat oleh 20 pegawai dan 40 anggota polis, dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.

Bekas calon ketua pemuda UMNO itu yang menghilangkan diri sejak sebulan lepas sebelum ditangkap Polis Negara Republik Indonesia (POLRI) di Jakarta Selatan pada 2 Julai lalu, membayar denda tersebut.

Pada 25 Mei lepas, Jamal mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan sejumlah botol arak menggunakan penukul besi di hadapan pintu pagar keluar Bangunan SUK dalam kejadian 5 Okt tahun lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM400.

Terdahulu, peguam Datuk Mohd Imran Tamrin yang mewakili Jamal memohon mahkamah mengenakan denda paling minimum ke atas anak guamnya atas alasan tindakan memecahkan botol arak tersebut dilakukan sebagai gimik memprotes festival minuman keras ‘Oktoberfest’ yang dikatakan akan dianjurkan kerajaan Selangor.

Jamal yang berdiri di kandang tertuduh turut memohon maaf atas perbuatannya yang menyusahkan orang ramai.

“Saya telah membeli 10 katon botol arak berjumlah RM1,800 dan bersama kira-kira 30 anggota NGO yang turut disertai kaum India dan Cina, mengadakan gimik itu supaya kerajaan negeri membatalkan kelulusan penganjuran Oktoberfest dibuat secara terbuka.

“Kami memang dah sediakan trak untuk bersihkan kawasan tersebut tetapi tidak sempat mengemaskannya selepas diarah pihak berkuasa untuk bersurai. Saya tiada niat untuk melakukan huru-hara tetapi sekadar menjaga kepentingan orang ramai supaya anak-anak muda tidak terpengaruh dengan bebas minum arak di mana-mana sahaja,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Amira Haziqah Zulkifli berkata mahkamah wajar menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran ke atas tertuduh kerana sebagai seorang yang dikenali, dia tidak sepatutnya melakukan kesalahan tersebut sehingga mendatangkan kegusaran serta bahaya kepada orang awam.

Media sebelum ini melaporkan Jamal bertindak menghilangkan diri selepas didakwa di Hospital Pakar Ampang Puteri atas pertuduhan memecahkan botol arak tersebut sehingga menjadi buruan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau kemudian berjaya ditahan POLRI di sebuah kedai gunting rambut di Jakarta Selatan pada jam 6.15 petang (waktu Malaysia), 2 Julai lepas.

Sejurus dibawa pulang ke Malaysia pada 5 Julai, tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang pada hari sama, atas tuduhan sengaja melepaskan diri daripada jagaan polis atas tiga kesalahan yang mana dia telah ditahan secara sah di sisi undang-undang.

Dua daripada tiga kesalahan tersebut adalah mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dan telah dituduh di Mahkamah Majistret Ampang pada Mei lepas  manakala satu lagi ialah kesalahan memecah botol arak di Mahkamah Majistret di sini.

Jamal dalam pada itu turut disiasat atas beberapa kes lagi termasuk mengikut Seksyen 34 Akta Senjata 1960. — Bernama

Advertisement