Anda di sini

IPD Kuching mencatatkan penurunan jenayah Jan-Jun

Advertisement
 Ng menyampaikan sijil penghargaan kepada seorang pegawai wanita di atas kecemerlangannya dalam menjalankan tugas.
TERUSKAN USAHA: Ng menyampaikan sijil penghargaan kepada seorang pegawai wanita di atas kecemerlangannya dalam menjalankan tugas.

KUCHING: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching mencatatkan penurunan kadar jenayah indeks sebanyak 15.76 peratus untuk tempoh Januari hingga Jun tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Ketua Polis Daerah ACP Ng Ah Lek berkata, sebanyak 812 kes dicatatkan untuk tempoh tersebut pada 2017 berbanding hanya 684 kes pada 2018 iaitu menunjukkan penurunan sebanyak 128 kes.

Menurutnya, 246 daripada kes pada tahun ini berjaya diselesaikan dengan 376 tangkapan dilakukan.

“Sementara bagi kadar pertuduhan pula (Januari hingga Jun), sebanyak 1,093 kertas siasatan telah dibuka, manakala 394 telah dituduh bersamaan 38.05 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

“Manakala bagi tindakan yang diambil di bawah POCA pula mencatatkan seramai 14 suspek telah diambil tindakan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan IPD Kuching di sini, semalam.

Ng turut memberitahu, sebanyak lima kumpulan berjaya ditumpaskan melibatkan sindiket curi kenderaan , pecah rumah dan rompak.

“Bagi pemeriksaan dan tangkapan ke atas kes Dadu pula, sebanyak 212 serbuan ke atas pelbagai kegiatan perjudian dijalankan melibatkan 249 tangkapan, juga untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini,” jelasnya.

Justeru, beliau mengucapkan penghargaan kepada seluruh warga IPD Kuching kerana memainkan peranan dan berusaha menurunkan kadar jenayah melalui tindakan proaktif dalam pencegahan jenayah dan tangkapan.

“Kejayaan ini hasil komitmen serta sokongan padu berterusan semua peringkat pegawai dan anggota yang sememangnya menyedari akan tanggungjawab dan peranan masing-masing,” katanya.

Majlis turut menyaksikan beberapa anggota dan pegawai menerima sijil penghargaan atas kecemerlangan dalam menjalankan tugas masing-masing.

Advertisement