Anda di sini

Inisiatif iktiraf PM dan PG

Advertisement
 Uggah mempengerusikan sidang media selepas membentangkan RUU Kanun Tanah (Pindaan) 2018 pada persidangan DUN semalam.
DIPERJELASKAN: Uggah mempengerusikan sidang media selepas membentangkan RUU Kanun Tanah (Pindaan) 2018 pada persidangan DUN semalam.

KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Tanah (Pindaan) 2018 yang dibentangkan semalam bertujuan mengiktiraf Pemakai Menoa (PM) dan Pulau Galau (PG) dari segi undang-undang.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, hak di bawah Seksyen 5 Kanun Tanah Negeri, temuda dan sebagainya kekal, sambil menambah ketika ini PM dan PG iaitu hutan dara yang terjejas kerana undang-undang ini.

Kerajaan katanya, menggunakan istilah hak ‘usufructuary’ sebagai satu cara penetapan, sebagai contoh, jika seseorang itu mahu menuntut sesebuah kawasan sebagai temuda, dia mesti sudah bercucuk tanam, manakala PM dan PG mesti dibuktikan sudah digunakan sebelum ini.

“Dengan undang-undang baharu ini peribumi tidak akan kehilangan mana-mana tanah yang sudah ditentukan di bawah Seksyen 5 sebagai tanah Hak Adat Bumiputera (NCR),” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membentangkan RUU Kanun Tanah (Pindaan) 2018 di Pusat Media Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata, menerusi pindaan itu, kerajaan Sarawak mahu mengiktiraf adat PM dan PG dalam masyarakat Iban, tetapi kaum etnik lain seperti Melayu, menyebutnya sebagai kawasan ‘cari makan.’

“Kita ada dua pilhan di sini. Satu kita boleh beritahu rakyat, kami beri anda hanya untuk dipakai iaitu hak ‘usufructuary’ sahaja, tetapi mereka tidak boleh memilikinya.

“Kerajaan sekarang di bawah GPS, kata tidak cukup. Jadi, kita beri surat hak milik tanah guna sama, bermakna kami (kerajaan) memberikannya hak pemilikan.

“Seperti dikatakan Datuk Idris Buang ketika membahas RUU ini tadi, ‘tok menua kita, empu kita.’ Anda ada surat hak milik dan surat hak milik ini adalah buat selama-lamanya,” jelas beliau.

Uggah turut memberitahu, beliau akan berbincang dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berhubung permintaan beberapa ahli dewan membahaskan RUU itu agar domain kawasan peribumi tidak dihadkan kepada 500 hektar.

“Saya akan berbincang dengan Ketua Menteri. Kita mendengar cadangan-cadangan yang munasabah... Beberapa kawasan liputan wilayah peribumi sangat luas melebihi 500 hektar seperti di Ulu Rajang dan Ulu Baram.

“Ketua Menteri mendengar pendapat rakyat. Sudah tentulah tidak semua permintaan akan dipenuhi kerana ia bermotifkan politik, tetapi kalau ada keikhlasan dan masalah sebenar, kita duduk berbincang,” katanya.

Sementara itu, ketika membentang RUU itu Uggah berkata antara ciri utamanya ialah hak ke atas tanah boleh dibuat oleh penduduk asal melalui akses ke sesuatu kawasan, bersempadanan atau bersebelahan dengan tanah NCR di bawah Seksyen 2 Kanun Tanah, jika hak ‘usufructuary’ yang dilaksanakan oleh penduduk peribumi sebelum 1 Januari 1958.

Katanya, istilah ‘usufructuary’ hanyalah deskriptif daripada adat dan amalan yang akan diiktiraf secara undang-undang oleh peruntukan dipinda untuk mewujudkan hak pemilikan ke atas domain kawasan.

“Kebiasaan dan amalan yang diterangkan di bawah takrif hak-hak ‘usufructuary’ adalah sama dengan adat PM dan PG masyarakat Iban.

“Amalan-amalan ini kini diberi pengiktirafan di bawah istilah hak ‘usufructuary’,” jelasnya.

Beliau menambah, kawasan hak-hak tersebut yang telah diwujudkan akan dikenali sebagai ‘domain kawasan peribumi’ di mana surat hak milik selama-lamanya akan dikeluarkan.

Katanya, surat hak milik itu akan dikeluarkan kepada mana-mana individu atau pihak sebagai pemegang amanah oleh komuniti peribumi.

Menjelas lanjut, Uggah berkata, surat hak milik dikeluarkan ke atas ‘domain kawasan peribumi’ dan tanah boleh digunakan untuk tujuan pertanian atau tujuan lain dengan kebenaran daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

“Ini bermakna, tanah itu mungkin digunakan tidak hanya untuk mencari makan atau berburu dan sumber balak bagi penggunaan domestik, tetapi juga sebarang penggunaan bagi tujuan pertanian seperti termaktub dalam Seksyen 2 Kanun Tanah.

“Memandangkan tanah untuk penggunaan eksklusif masyarakat peribumi, ahli masyarakat itu akan mempunyai prerogatif menentukan penggunaan ‘domain kawasan peribumi’ dalam kalangan mereka,” katanya.

Bagaimanapun ujarnya, jika komuniti peribumi berkenaan memutus untuk menggunakannya selain pertanian, permohonan perlu dikemukakan kepada MMKN untuk menukar penggunaan tanah.

Beliau memberitahu, konsep ‘domain kawasan peribumi’ dan pengeluaran surat hak milik tanah Bumiputera diguna pakai kepada semua komuniti peribumi di Sarawak yang mempunyai hak ke atasnya.

Justeru katanya, adat komuniti tertentu yang tidak digunakan untuk menjelaskan kawasan tertentu akan diiktiraf di bawah peruntukan ‘domain kawasan peribumi’ yang baharu ini.

“Malah, istilah baharu ‘domain kawasan peribumi’ dan ‘hak usufructuary’ mempunyai hubungan dengan adat PM dan PG kaum Iban.

“Surat hak milik tanah peribumi ini terangkum dalam definisi ‘dokumen hak milik,’ dengan itu, kepentingan selama-lamanya ke atas kawasan liputan wilayah peribumi diiktiraf,” katanya.

Katanya lagi, sebarang tanah yang dimiliki di bawah hak-hak adat peribumi diwujudkan di bawah Seksyen 5 atau ‘domain kawasan peribumi’ di bawah cadangan baharu Seksyen 6A Kanun Tanah akan dikecualikan daripada sebarang Pajakan Sementara yang dikeluarkan di bawah pindaan Seksyen 28 Kanun Tanah.

Tambahnya, apabila rang undang-undang itu diluluskan, peraturan akan dibuat di bawah Seksyen 213(1)(k) untuk memastikan apabila tuntutan bagi ‘domain kawasan peribumi’ sudah dibuat di bawah Seksyen 6A yang baharu, pengendorsan akan dibuat di Pejabat Daftar Tanah supaya kawasan berkenaan boleh diisytiharkan sebagai ‘domain kawasan peribumi’ dan boleh dikeluarkan surat hak milik guna sama peribumi.

“Ini akan memastikan kawasan itu tidak akan diasingkan atau dikeluarkan dengan surat hak milik kepada pihak ketiga,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement