TAWAU: Seorang ibu mengharungi detik-detik cemas semasa melalui jambatan yang hampir roboh ketika cuba menyelamatkan diri selepas zink-zink rumahnya diterbangkan angin kencang, di Kg Tanjung Batu Laut, Jambatan Bunga Mawar, di sini, pada Rabu.
Dalam kejadian angin kencang kira-kira jam 1.10 pagi itu, kediaman Sukaina Tariki, 30, salah satu daripada dua rumah di penempatan atas air terbabit yang terjejas teruk.
Selain zink-zink yang berterbangan, bahagian siling dan rabung rumahnya turut terjejas, malah barangan elektroniknya juga dikhuatiri rosak akibat basah ditimpa air hujan.
Ketika melalui jambatan itu, keadaan Sukaina sekeluarga cukup mencabar kerana diuji dengan angin kencang, hujan lebat dan keadaan ombak yang tinggi berikutan air pasang. Mujur, sekumpulan pemuda kampung membantu menahan jambatan itu dengan tali sebelum wanita terbabit bersama ahli keluarga dapat melepasinya sebelum roboh.
“Semasa ribut berlaku, saya terus dukung anak bongsu sebelum kakak datang dan meminta kami keluar dari rumah untuk selamatkan diri kerana zink sudah berterbangan.
“Pada masa itu saya tidak fikir hal lain, selain untuk selamatkan diri bersama anak-anak serta mengambil dokumen penting dan barangan keperluan anak-anak,” katanya.
Menurutnya, jambatan terbabit roboh selepas kira-kira 10 minit mereka berjaya melepasinya dan mengakui masih trauma dengan kejadian yang menimpanya sekeluarga. Beliau berharap tidak ada lagi insiden baharu menimpa mereka selepas kejadian terbabit dan bersyukur kerana semua ahli keluarganya selamat dalam insiden cemas berkenaan.
“Anak-anak semua terkejut dengan kejadian yang berlaku,” katanya, sambil mengakui ketika kejadian berlaku, dia di rumah bersama kakak, tiga anak dan dua anak saudaranya. Mengulas lanjut, suaminya yang bertugas di Silam, sudah dihubungi dan dimaklumkan mengenai kejadian yang berlaku namun belum dapat balik kerana masih ada urusan kerja.
Jiran Sukaina, Agustriono Baharuddin, 35, pula berkata semasa kejadian berlaku, hanya isteri, dua adik ipar, seorang anaknya dan seorang anak saudaranya berada di rumah.
“Saya berada di tempat kerja, kira-kira 5km dari rumah, dan tidak dapat balik kerana hujan lebat yang berterusan sehingga pagi dan hanya menaiki motosikal,” katanya.
Agustriono berkata isterinya memberitahu terpaksa mendukung anaknya yang berusia dua tahun dengan kain selimut untuk keluar dari rumah semasa angin kencang bertiup. Menariknya, zink-zink rumahnya yang diterbangkan angin kencang sebenarnya baharu sahaja digantikan pada sebelah petang sebelum kejadian terbabit berlaku.
“Saya baharu sahaja menggantikan 70 keping zink rumah yang selesai dipasang pada kira-kira jam 4 petang, namun belum sampai sehari zink-zink itu sudah rosak,” katanya.
Kedua-dua keluarga berharap nasib mereka akan mendapat pembelaan dan mengakui setakat ini mereka ada menerima bantuan kewangan daripada pihak PKR Kalabakan.
Unit Pembangunan Pemimpin Masyarakat Tanjung Batu yang dihubungi memaklumkan bahawa aduan perkara itu sudah disalurkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Batu Datuk Hamisa Samat juga akan melawat kedua-dua keluarga terbabit sebaik selesai menjalankan urusan kerja di Kota Kinabalu.
Jabatan Meteorologi Malaysia sudah mengeluarkan amaran angin kencang Barat Daya berkelajuan 40-50 kmsj dengan dan laut bergelora kategori pertama (ombak setinggi 3.5 meter) yang dijangka berlaku di kawasan Timur Sabah sehingga Ahad (15 Julai).
Malah, amaran ribut petir menyeluruh melibatkan hujan lebat dan angin kencang juga dikeluarkan, dijangka berlaku di perairan Sabah sehingga jam 8 malam Rabu (11 Julai).