Anda di sini

Empat jurulatih dan atlet PTNS ikuti kursus latihan kejurulatihan ‘poomsae’

Advertisement
 Peserta kursus ‘poomsae’ bergambar beramai-ramai semasa di Kuala Lumpur.
UNTUK ALBUM: Peserta kursus ‘poomsae’ bergambar beramai-ramai semasa di Kuala Lumpur.

KUCHING: Seramai empat jurulatih dan atlet Persatuan Taekwondo Negeri Sarawak (PTNS) berjaya menamatkan kursus latihan kejurulatihan ‘poomsae’ yang diadakan di Gimnasium Majlis Sukan Negara, Kuala Lumpur pada hujung minggu lalu.

Mereka yang terlibat ialah Kong Chee Sing, Leslie Kong Chie Yong, Emmanuel Jose Buma dan Terence Ma.

Menurut Pengerusi Teknikal PTNS, Tan Check Joon, penting bagi pihaknya menghantar jurulatih menyertai kursus tersebut sebagai landasan pembangunan persatuan selain melatih krew teknikal baru.

“Kami sentiasa mencari jalan untuk memperkemaskan persatuan untuk memastikan kita beroperasi dengan berkesan dan dapat memberi peluang terbaik kepada jurulatih, para atlet dan ahli yang layak mengambil bahagian dalam acara yang diiktiraf seperti Sukan Malaysia (Sukma), SEA, Asian dan Sukan Olimpik antaranya,” ujar Tan yang juga Ahli Lembaga Kejurulatihan Taekwondo Malaysia (WTF).

Sementara itu, Presiden PTNS Azizul Annuar Adenan berkata persatuan berhasrat untuk melatih sebanyak mungkin jurulatih pembangunan dan tenaga pengajar berkelayakan muda dalam tempoh dua tahun ini.

“Kami sudah pasti menyokong potensi muda dan bercita-cita di Sarawak dan memberi mereka pengetahuan dan latihan yang mereka perlukan untuk bersaing di kejohanan peringkat tinggi,” katanya.

Beliau juga mempelawa institusi pendidikan dan ibu bapa untuk menghantar anak mereka berkembang bersama PTNS (WTF).

“Kami diiktiraf dan mengamalkan peraturan dan pergerakan ditetapkan oleh Taekwondo Dunia (WT). Justeru, kami ingin mempelawa semua sekolah, kolej, universiti dan ibu bapa.

“Beri peluang kepada pelajar dan anak-anak anda dan galakkan mereka untuk mengambil sukan taekwondo dengan badan yang diiktiraf dan krew teknikal yang berkelayakan,” tegasnya.

Advertisement