Anda di sini

DUN Sarawak lulus RUU Kanun Tanah (Pindaan) 2018 dengan Seksyen 6A(2) dan Sekyen 6A (3) dipinda

 

KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Tanah (Pindaan) 2018 selepas Seksyen 6A(2) dan Seksyen 6A(3)(b) dipinda.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas (gambar) membentangkan usul meminda Seksyen 6A(2) dan Seksyen 6A(3)(b) selepas bacaan kali ketiga RUU Kanun Tanah (Pindaan) 2018 pada Persidangan DUN hari ini.

Beliau berkata dengan pindaan Seksyen 6A(2), had kawasan tuntutan kawasan wilayah liputan pribumi (Native territorial domain-NTD) ditambah sehingga 1,000 hektar berbanding sebelum dipinda hanya 500 hektar.

Tambahnya, menteri bertanggungjawab dengan kelulusan daripada Majlis Mesyuarat Negeri Sarawak (MMNS) meluluskan tuntutan keluasan NTD sehingga 1,000 hektar.

Manakala pindaan Seksyen 6A(3)(b) katanya memperuntukkan pengeluaran surat hak milik tanah guna sama pribumi tidak hanya selama-lamanya tetapi tiada bayaran premium, sewa atau caj-caj lain dikenakan.

"Dua puluh dua (22) ahli Dewan menyuarakan kebimbangan mereka, iaitu had keluasan 500 hektar yang mungkin dituntut kaum pribumi sebagai kawasan liputan wilayah pribumi di bawah Seksyen 6A mungkin tidak adil dan seperti permintaan serta keperluan beberapa komuniti mungkin lebih luas daripada jumlah dihadkan.Mereka mencadangkan had keluasan 500 hektar ditambah kepada 1,000 hektar.

"Ahli Yang Berhormat Layar (Gerald Rentap Jabu), Meluan (Rolland Duat), Ngemah (Alexander Vincent), Piasau (Sebastian Ting) dan Bukit Semuja (John Ilus) juga mencadangkan agar surat hak milik tanah guna sama pribumi tidak hanya diberi selama-lamanya tetapi percuma daripada premium, sewa dan caj-caj lain," katanya.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata perkara itu sentiasa menjadi hasrat kerajaan negeri.