Anda di sini

Bom nekad sasar perhimpunan pilihan raya Pakistan, 20 terbunuh

Advertisement
 Sukarelawan mengutip cebisan mayat selepas serangan bom nekad mengorbankan                        20 orang yang menghadiri perhimpunan pilihan raya di Peshawar, Pakistan kelmarin. — Gambar AFP
TRAGIS: Sukarelawan mengutip cebisan mayat selepas serangan bom nekad mengorbankan 20 orang yang menghadiri perhimpunan pilihan raya di Peshawar, Pakistan kelmarin. — Gambar AFP

PESHAWAR: Bilangan kematian dalam satu serangan bom bunuh diri di satu perhimpunan pilihan raya di barat laut Pakistan meningkat kepada 20 semalam manakala puak militan Taliban mengaku bertanggungjawab, kata pegawai, dalam serangan besar pertama menjelang pilihan raya pada 25 Julai.

Seorang ketua tempatan Parti Nasional Awami (ANP), Haroon Bilour, turut terkorban dalam serangan di kota Peshawar itu lewat kelmarin, kata pegawai yang membuat pengesahan.

Parti itu telah disasari puak militan Islamis pada masa lalu kerana tentangannya yang lantang kepada kumpulan pelampau seperti puak Taliban.

Serangan bom itu berlaku beberapa jam selepas jurucakap tentera Pakistan berkata keselamatan terancam menjelang pilihan raya kebangsaan.

“Bilangan kematian sudah meningkat kepada 20 dan 63 lagi cedera, di mana 35 daripadanya masih menerima rawatan di dua hospital Peshawar,” kata ketua polis Peshawar, Qazi Jameel, kepada AFP.

Pegawai hospital Peshawar, Zulfiqar Babakhel, menge-sahkan bilangan kematian yang telah dikemaskini.

Ketua penghapusan bom Shafqat Malik memberitahu AFP pengebom bunuh diri berkenaan – yang menurutnya berusia sekitar 16 tahun – membawa lapan kilogram bahan letupan dan tiga kilogram penabur, alas bebola dan serpihan lain pada badannya.

Peguam Peshawar melancarkan mogok semalam untuk membantah dan meratapi kematian Haroon, yang juga seorang peguam.

Peniaga tempatan turut mengumumkan mogok dan orang ramai berpusu-pusu ke kediaman Bilour untuk me-nyampaikan ucapan takziah.

Bilour merupakan salah seorang calon ANP dalam pilihan raya dan anggota sebuah keluarga politik yang berpengaruh di wilayah Khyber-Pakhtunkhwa, di mana Peshawar adalah ibu kota.

Bapanya Bashir Bilour, salah seorang pemimpin terkemuka ANP, turut dibunuh oleh pengebom bunuh diri pada 2012.

Polis berkata pengebom menyerang ketika Bilour hendak berucap kepada kira-kira 200 penyokong.

Mohammad Khorasani, jurucakap kumpulan militan Tehreek-e-Taliban Pakistan, mengaku bertanggungjawab bagi serangan itu.

“Mujahid (pejuang suci) Tehreek-e-Taliban Pakistan, Abdul Karim, semalam melancarkan serangan bunuh diri ke atas ketua penting ANP Haroon Bilour di mana beliau telah terbunuh,” Khorasani menyebut dalam satu kenyataan.

Beliau berkata puak militan itu “sudah mengisytiharkan perang” ke atas ANP dan menyeru kepada orang ramai untuk menjauhkan diri daripada mereka, “jika tidak anda akan bertanggungjawab bagi kematian anda sendiri”.

Kota Peshawar dianggap sebagai gerbang ke wilayah kabilah yang separa autonomi dan bergolak di Pakistan, di mana banyak kumpulan militan – termasuk Al Qaeda – beroperasi sehingga kerajaan melancarkan operasi untuk menggulingkan mereka.

Puak militan telah menyasari ahli politik, perhimpunan keagamaan, pasukan keselamatan dan malah sekolah di Peshawar.

Namun keselamatan di seluruh Pakistan, termasuk Peshawar, sudah bertambah baik dengan dramatik sejak operasi dilancarkan oleh kerajaan dan tentera dalam masa beberapa tahun yang lalu.

Bagaimanapun penganalisis memberi amaran bahawa Pakistan belum lagi menangani punca sebenar fahaman ekstrem. — AFP

Advertisement