Anda di sini

Beyonce & Jay-Z ketuai senarai artis festival muzik khas untuk Mandela

Advertisement

BEYONCE dan suaminya Jay-Z akan mengetuai barisan penghibur senarai A untuk meraikan 100 tahun sejak kelahiran Nelson Mandela di sebuah festival Johannesburg oleh pergerakan Global Citizen untuk membasmi kemiskinan.

Acara pada 2 Disember itu, yang akan disiarkan ke peringkat antarabangsa, akan meraikan mendiang ikon anti-aparteid itu dan menarik beberapa pemimpin dalam usaha untuk menarik perhatian kepada usaha baharu bagi membasmi kemiskinan terburuk di dunia, Global Citizen mengumumkan Isnin lepas.

Beyonce dan suaminya Jay-Z akan mengetuai muzik di Stadium FNB bersama beberapa bintang lain: penyanyi utama kumpulan Coldplay, Chris Martin, penyanyi-penulis lagu Inggeris, Ed Sheeran, penyanyi Pearl Jam, Eddie Vedder, penerbit pop hit Pharrell Williams dan penyanyi yang menduduki tempat teratas carta R&B, Usher.

Festival itu juga akan memaparkan beberapa pemuzik paling popular di benua berkenaan termasuk penerbit hip-hop Afrika Selatan, Cassper Nyovest, dan artis-artis dari Nigeria seperti Wizkid, D’banj dan Femi Kuti, anak lelaki legenda Afrobeat Fela Kuti.

Global Citizen berkata ia harap persiapan untuk festival itu akan mengutip komitmen sebanyak AS$1 bilion untuk membantu golongan paling miskin di dunia, dengan separuh daripada jumlah tersebut menyasari wanita dan kanak-kanak perempuan.

Global Citizen sudah mengadakan festival sejak 2012 di Central Park, New York, dalam acara sampingan kepada Perhimpunan Agung Tahunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mendapatkan sokongan, terutamanya di kalangan golongan muda, dalam usaha membasmi kemiskinan.

Sejak itu kumpulan tersebut telah melebarkan sayap ke luar negara dengan seminar dan muzik di India, Jerman dan negara lain.

Hugh Evans, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi pergerakan itu, berkata beliau menjangkakan festival Johannesburg akan menjadi festival Global Citizen terbesar dalam sejarah dari segi jangkauan, simbolisme dan barisan artis.

“Dalam setiap cara yang kita mengukur hasil - jumlah warga yang dilibatkan, jumlah hasil dasar yang dicapai, jumlah nyawa yang terkesan disebabkan oleh hasil dasar tersebut - kami percaya ia mempunyai potensi untuk menjadi kempen paling signifikan yang pernah kami sertai,” kata Evans kepada AFP.

Tidak seperti konsert amal tradisional, Global Citizen mengedar tiket secara percuma kepada penyokong yang berjanji untuk mengambil tindakan seperti menulis kepada kerajaan mereka untuk menyokong bantuan pembangunan antarabangsa.

Bagi edisi Johannesburg, Global Citizen juga akan memberi tiket kepada orang yang mengambil tindakan secara langsung demi kebaikan termasuk pekerja kesihatan masyarakat yang menjalani ujian HIV atau mengajar ibu tentang nutrisi kanak-kanak selain guru dan warga Afrika Selatan yang mengitar semula plastik.

- MANDELA SEBAGAI INSPIRASI -

Evans berkata Mandela memberi model  bagi pergerakan Global Citizen menerusi usahanya yang berhati mulia dalam perdamaian kaum dan demokrasi selain menerusi fokusnya kepada usaha menangani kemiskinan dan kesihatan global.

BEYONCE & JAY-Z
BEYONCE & JAY-Z

Beyonce pernah membuat persembahan di Afrika Selatan pada 2002 di sebuah konsert yang dihoskan oleh Mandela untuk menimbulkan kesedaran tentang HIV dan AIDS.

Dua tahun kemudian Mandela menyampaikan ucapan bersejarah di Dataran Trafalgar, London, untuk menggesa usaha bersepadu bagi “menjadikan kemiskinan satu sejarah silam”.

Namun Evans berkata dunia ketinggalan dalam Matlamat Pembangunan Mampan PBB yang termasuk menamatkan kebuluran dan memastikan peluang pendidikan bagi semua kanak-kanak, tanpa mengira jantina, menjelang tahun 2030.

Sementara Britain, Jerman dan negara Nordik mencapai matlamat yang disokong oleh PBB bagi memperuntukkan 0.7 peratus daripada keluaran dalam negara kasar kepada bantuan antarabangsa, negara besar lain pula ketinggalan.

Di Amerika Syarikat, Presiden Donald Trump telah menuntut agar bantuan asing dikurangkan sebanyak satu pertiga, tetapi Kongres umumnya menentang kempennya yang dipanggil “America First” bagi bantuan.

“Sebenarnya dunia tidak di landasan untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan kecualilah terdapat keazaman politik yang lebih tinggi,” kata Evans.

Global Citizen berkata Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa selain pemimpin Norway dan Ghana merancang untuk menghadiri festival pada 2 Disember itu bagi memberi penghormatan kepada Mandela, yang lahir pada 18 Julai 1918. — AFP

Advertisement