Anda di sini

Anak gajah ditemukan berkeliaran

Advertisement
ANAK gajah berumur kira-kira dua hingga tiga minggu yang ditemukan bersendirian di Ladang Burmas, Tawau.
ANAK gajah berumur kira-kira dua hingga tiga minggu yang ditemukan berkeliaran di Ladang Burmas, Tawau.

TAWAU: Seekor anak gajah seberat 95.5 kilogram ditemukan berkeliaran tanpa kumpulannya di Ladang Brumas di sini, kira-kira jam 3 petang Selasa.

Jurucakap Pejabat Jabatan Hidupan Liar Siti Nur'Ain Ampuan Acheh berkata gajah jantan berusia kira-kira dua hingga tiga minggu itu dikesan sedang berkeliaran di kawasan ladang sebelum pihak pengurusan ladang menghubungi Jabatan Hidupan Liar untuk tindakan selanjutnya.

"Semasa diperiksa, anak gajah terbabit dalam keadaan lemah serta terdapat beberapa kesan luka di beberapa bahagian badannya dan pegawai veterinar dari Jabatan Perkhidmatan Haiwan membantu memberikan rawatan awal kepada anak gajah itu.

"Anak gajah itu kemudiannya dibawa ke taman hidupan Sepilok sebelum diberikan susu formula dan diberi vaksin secara inten-venously," katanya sambil menambah, anak gajah berkenaan selamat tiba di Sepilok kira-kira jam 5.30 petang tadi.

Menurutnya anak gajah itu kini masih dalam pengawasan berikutan keadaannya yang belum stabil dan masih mengalami sedikit dehidrasi sehingga diberikan elektrolit oral.

Dalam perkembangan berasingan, Jabatan Hidupan Liar dimaklumkan orang awam berkenaan penemuan bangkai penyu terapung beserta gambar berhampiran Jeti Jesselton Point di Kota Kinabalu, pagi Rabu.

Siti berkata sepasukan unit penyelamat Jabatan Hidupan Liar memeriksa sekitar lokasi bagaimanapun bangkai penyu tidak ditemukan kerana keadaan laut yang bergelora ketika itu.

"Pengendali bot sudah diarahkan untuk memaklumkan jika mengesan bangkai penyu berkenaan bagaimanapun sehingga jam 5 petang tadi kita masih belum menerima sebarang panggilan berkenaan kejadian," katanya.

Dalam pada itu, kakitangan unit penyelamat Jabatan Hidupan Liar memasang perangkap buaya di kawasan Tanjung Lipat Likas selepas video kehadiran buaya ditularkan di media sosial baru-baru ini.

"Sehingga kini, masih belum ada buaya yang berjaya ditangkap dan usaha ini akan diteruskan untuk tujuan keselamatan di kawasan berkenaan.

"Pihak jabatan juga sudah memasang papan tanda amaran kehadiran buaya di tiga lokasi berhampiran dengan takungan air bagi mengingatkan orang awam untuk sentiasa berhati-hati dan tidak memasuki kawasan takungan air bagi tujuan beriadah atau memukat serta menangkap ikan," katanya.

  • oleh
  • Advertisement