Anda di sini

Wujudkan unit pelaburan di setiap PBT

Advertisement
JAUJAN (tengah) ketika sidang media.
JAUJAN (tengah) ketika sidang media.

KOTA MARUDU: Sudah tiba masanya bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri mewujudkan satu unit pelaburan bagi mencari sumber pendapatan sendiri.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata, pendekatan itu adalah bagi memastikan PBT tidak lagi hanya bergantung kepada kerajaan negeri atau Pusat untuk menjana pendapatan.

"PBT diibaratkan sebagai sebuah kerajaan dan sumbernya datang daripada pendapatan sendiri selain geran diberikan oleh pentadbiran negeri dan Pusat.

"Unit pelaburan itu akan meningkatkan potensi PBT dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada anak-anak Sabah yang mana, kini kita sering dengar bahawa kurangnya peluang seumpamanya di negeri ini," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Majlis Daerah Kota Marudu pada Selasa.

Beliau berkata, perancangan kerajaan baharu ingin menjadikan kawasan utara Sabah sebagai pusat perindustrian bakal direalisasikan seterusnya mampu menarik lebih ramai pelabur besar dari dalam dan luar negara.

Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan menjelaskan untuk tujuan itu, PBT harus menyediakan kemudahan prasarana bagi melabur sebelum menjemput pelabur datang ke negeri ini.

"Kerajaan telah kenal pasti kawasan di utara seperti Kudat, Kota Marudu dan Pitas untuk dibangunkan agar kawasan berkenaan mempunyai industri.

"Sebab itu, kita akan membina pelabuhan terbesar di rantau ini di Kudat. Walaupun Kudat tidak mempunyai kawasan yang luas, tetapi Kota Marudu, Pitas hingga ke Tandek mempunyai potensi besar," katanya.

Katanya, unit pelaburan dalam PBT pula akan bertanggungjawab memasarkan setiap kawasan itu.

Menurutnya, walaupun Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) sudah diwujudkan, namun kawasan itu tidak dapat menampung keperluan industri yang besar.

"Kadang-kadang pelabur besar inginkan 500 sehingga 1,000 hektar untuk membangunkan industri khususnya kayu kayan.

"Industri getah dan minyak sawit turut tidak ketinggalan kerana pembangunan itu juga mampu mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan di masa hadapan," katanya.

Jaujan juga ingin perancangan bandar ditumpukan kepada kawasan luar bandar kerana bandaraya seperti Kota Kinabalu kini sesak daripada masyarakat luar bandar yang ingin mencari peluang pekerjaan sehingga kesesakan itu menimbulkan pelbagai masalah.

  • oleh
  • Advertisement