Anda di sini

Wujud tabung khusus untuk pembangunan luar bandar hasil pelaksanaan OMO58

(Dari kiri) Juanda, Aidel dan ADUN Lingga Simoi Peri pada sidang media selepas membahaskan rang undang-undang pindaan OMO58 yang dibentangkan semalam.
SIDANG MEDIA:(Dari kiri) Juanda, Aidel dan ADUN Lingga Simoi Peri pada sidang media selepas membahaskan rang undang-undang pindaan OMO58 yang dibentangkan semalam.

KUCHING: Hasil pendapatan daripada pelaksanaan Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO58) nanti, satu tabung khusus untuk pembangunan luar bandar disyor untuk diwujudkan.

Datuk Dr Juanda Jaya (PBB-Jemoreng) berkata, ia seperti negara lain yang mana pendapatan hasil minyak dan gas mereka dijadikan tabungan berdaulat (sovereign fund) bagi mempercepatkan pembangunan di luar bandar negeri ini.

“Saya merasakan buat masa ini bagi Sarawak kita perlu pembangunan yang cepat termasuk di luar bandar dan kita tidak mahu di bandar seperti Kuching sahaja ada akses internet 4G tetapi tiada di kawasan-kawasan lain seperti Matu dan sebagainya.

“Ini adalah inisiatif yang amat baik oleh kerajaan dan saya menggesa kepada semua ahli politik tanpa mengira latar belakang parti mereka untuk memberi sokongan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membahaskan Rang Undang-Undang Pindaan Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO58) yang dibentangkan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada Persidangan DUN di sini, semalam.

Tambah Juanda, memandangkan kini adalah kerajaan baharu, Malaysia baharu yang lebih terbuka, adil serta kebebasan bersuara maka Sarawak berani untuk menyatakan hak-haknya yang harus dikembalikan.

Kata beliau, diharap pihak persekutuan tidak salah sangka kerana Sarawak tidak pernah terfikir ‘berkelahi’ dengan Petronas atau menafikan hak-hak Petronas dan sebagainya.

“Namun sebagai ‘tuan tanah’ sudah pasti apabila orang masuk ke kebun kita, mereka harus minta kebenaran dan keluar dari kebun kita membawa hasil tanpa melihat atau menyapa kita,” katanya.

Sementara itu Aidel Lariwoo (PBB-Sadong Jaya) yang turut membahaskan rang undang-undang berkenaan berkata, adalah tepat pada masanya bagi Sarawak mendapatkan kuasa sepenuhnya terhadap aktiviti serta perniagaan minyak dan gas di negeri ini.

“Saya percaya dengan melaksanakan sepenuhnya undang-undang di bawah pindaan OMO ini ia akan memberi pendapatan tambahan kepada Sarawak.

“Minyak dan gas merupakan industri yang sangat pantas berkembang dan disebabkan itu banyak pemain industri yang berjaya serta mendapat kekayaan,” katanya.