Anda di sini

Taman Negara Luconia Shoals akan diwartakan semula

Advertisement

KUCHING: Pihak berkepentingan diberi tempoh 60 hari berkuat kuasa semalam untuk mengemukakan bantahan, cadangan, hak atau keistimewaan mereka sebelum kawasan Taman Negara Luconia Shoals diwartakan semula.

Menurut Pembantu Pengarah Pemuliharaan Alam dan Bahagian Perlembagaan Jabatan Hutan Sarawak Azahari Omar, proses tersebut sebenarnya memakan masa.

“Taman negara ini akan diwartakan semula selepas kami mengemukakan kertas kerja kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dijangka akan dikemukakan sebelum penghujung tahun ini.

“Luconia Shoals pernah diwartakan di peringkat awal pada 14 September 2017,” katanya ketika ditemui pada Sesi Penerangan Penubuhan Taman Negara Luconia Shoals di Pusat Penerangan Islam di sini.

Beliau yang juga merupakan timbalan kontroler Taman Negara dan Rizab Semula Jadi Jabatan Hutan Sarawak menambah, keluasan Taman Negara Luconia Shoals adalah melebihi satu juta hektar.

Sekiranya diwartakan semula selepas ini, ia akan menjadi sebuah taman negara untuk kawasan marin yang terbesar di Malaysia.

Kawasan tersebut mempunyai 14 terumbu karang dan yang paling popular adalah Beting Patinggi Ali.

Sementara itu, pada majlis yang sama Timbalan Pengarah Pengurusan Jabatan Perikanan Laut Sarawak Liza Long dalam ucapannya berkata pihaknya telah menerima surat daripada Jabatan Hutan Sarawak tentang cadangan terbabit.

Di dalamnya terkandung bahawa Kuala Lawas National Park telah digazetkan pada 1 Januari 2017, sementara Taman Negara Luconia Shoals pada 14 September 2017.

Beliau juga mengulangi agar kejadian tular seekor yu paus yang ditangkap di Laut Penipah, Mukah dan menjadi viral di media sosial tidak akan berulang semula.

Menurutnya, menjaga haiwan terancam adalah tanggungjawab bersama semua pihak agar ia tidak semakin pupus.

Advertisement