Anda di sini

Semua akan dibantu tanpa mengira penyokong kerajaan atau pembangkang

Advertisement
 Daud berucap pada sambutan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Serbaguna Kampung Brunei, Kimanis.
SEMUA DIBANTU: Daud berucap pada sambutan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Serbaguna Kampung Brunei, Kimanis.

BONGAWAN: Setiap rakyat di negeri ini khususnya di kawasan Bongawan akan mendapat layanan yang adil tidak kira sama ada mereka penyokong kerajaan ataupun pembangkang.

Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Dr Daud Yusof berkata, amalan kerajaan terdahulu yang mengamalkan sikap sedemikian tidak akan dilakukan kerajaan yang dipimpin parti Warisan Sabah.

Sebaliknya jelas beliau, selari dengan slogan ‘Sabah Ubah’, beliau akan memastikan amalan kerajaan terdahulu yang tidak baik akan diubah bagi memastikan setiap rakyat mendapat manfaatnya.

“Kita tidak akan mengamalkan amalan kerajaan terdahulu yang mengetepikan segelintir rakyat. Justeru, kita telah meletakkan matlamat untuk membantu semua rakyat tidak kira sama ada mereka adalah penyokong pembangkang.

“Kita akan bersikap adil kepada semua rakyat tidak kira apa fahaman politik mereka, “ katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Serbaguna Kampung Brunei, Kimanis.

Dalam pada itu, Daud yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan meminta ahli serta pemimpin Warisan di peringkat akar umbi supaya tidak bekerja untuk Yang Berhormat (YB) sebaliknya meletakkan fokus terhadap rakyat.

Beliau berkata, mereka haruslah bekerja untuk rakyat dengan mengenal pasti sebarang keperluan serta kemudahan yang diperlukan di peringkat akar umbi supaya wakil rakyat dapat menyampaikan perkhidmatan.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memuji usaha pihak penganjur atas penganjuran majlis rumah terbuka berkenaan.

Beliau mengakui, walaupun terdapat rintangan namun atas semangat rakyat, majlis ini dapat dianjurkan malah berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan yang menggalakkan.

Advertisement