Anda di sini

PEKEMA mahu dasar permit import sedia ada dikekalkan

Advertisement
 Zainuddin selepas menghadiri mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan yang dipengerusikan oleh Tun Daim Zainuddin di Menara Ilham semalam. — Gambar Bernama
TERUS DIKEKALKAN: Zainuddin selepas menghadiri mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan yang dipengerusikan oleh Tun Daim Zainuddin di Menara Ilham semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) mahu kerajaan mengekalkan dasar permit import (AP) sedia ada bagi menyokong industri itu selain mengambil kira nilai pelaburan besar yang telah dibelanjakan untuk kemajuan segmen tersebut.

Presiden Datuk Zainuddin Abdul Rahman berkata, cadangan pemansuhan AP tidak boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya kerana industri itu turut melibatkan hak serta keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, AP diperlukan bagi pengawalan harga kereta baharu agar tidak dinaikkan sewenang-wenangnya.

“AP perlu dikekalkan bagi mereka yang betul-betul berniaga. Besar pelaburan yang telah dibuat bagi membuka bilik pameran dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas bertemu Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham di sini, semalam.

Beliau berkata, kuota AP pada 2017 masih lagi digunakan sehingga kini dan berbaki hampir 2,000 AP.

“Ini kerana pasaran kereta lembap disebabkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). Jualan kereta kembali rancak selepas pemansuhan GST pada Jun lepas,” katanya.

Selain itu, beliau memohon kerajaan menghapuskan penetapan levi RM10,000 bagi AP terbuka.

“Ada 800 lebih jenis AP di Malaysia semuanya percuma, hanya AP terbuka yang dikenakan caj RM10,000,” katanya.

Zainuddin berkata, pada 2010 kerajaan berjanji 40 peratus daripada RM10,000 itu akan disalurkan kepada anggota PEKEMA untuk menaik taraf bilik pameran dan sebagainya.

“Baki 40 peratus lagi akan digunakan untuk perkembangan anggota baharu dalam industri automotif dan 20 peratus lagi untuk Institut Automotif Malaysia (MAI).

“Bagi anggota PEKEMA, kami dapat tidak sampai satu peratus, peserta baharu pula sifar peratus, hanya MAI yang dapat 20 peratus,” katanya. — Bernama

Advertisement