Anda di sini

Pecah botol arak depan bangunan SUK, Jamal didenda RM400

Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin turut memerintahkan Jamal yang dikawal ketat oleh 20 pegawai dan 40 anggota polis, dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.
Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin turut memerintahkan Jamal yang dikawal ketat oleh 20 pegawai dan 40 anggota polis, dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda. - Foto Bernama

SHAH ALAM: Mahkamah Majistret di sini hari ini mendenda Ketua Umno BahagianSungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos sebanyak RM400 kerana memecahkan sejumlah botol arakmenggunakan penukul besi di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) di sini, tahun lepas.

Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin mengenakan hukuman itu selepas Jamal, 48, yang hadir ke mahkamah memakai sut lengkap hitam, menukar pengakuannya kepada bersalah.

Mahkamah turut memerintahkan Jamal yang dikawal ketat oleh 20 pegawai dan 40 anggota polis, dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.

Bekas calon ketua pemuda Umno itu yang sebelum ini menghilangkan diri sejak sebulan lepas sebelum ditangkap Polis Negara Republik Indonesia (POLRI) di Jakarta Selatan pada 2 Julai lalu, membayar denda tersebut.

Pada 25 Mei lepas, Jamal mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan sejumlah botol arak menggunakan penukul besi di hadapan pintu pagar keluar Bangunan SUK pada 5 Okt tahun lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM400.

Timbalan Pendakwa Raya Amira Haziqah Zulkifli mengendalikan pendakwaan sementara Jamal diwakili peguam Datuk Mohd Imran Tamrin. - Bernama