Anda di sini

OD1SI terap nilai tambah hasil sumber asli Sabah

Advertisement
SALAH seorang wakil pempamer menerangkan produk IKS keluaran tempatan kepada Madius (tiga dari kanan).
SALAH seorang wakil pempamer menerangkan produk IKS keluaran tempatan kepada Madius (tiga dari kanan).

TAMPARULI: Kerajaan negeri mahu hasil sumber asli Sabah ditambah nilai melalui inisiatif Program 'One District One Small Industry' (OD1SI).

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, penerapan OD1SI akan memastikan terdapat usaha yang menyeluruh agar semua hasil sumber asli keluaran Sabah mempunyai nilai tambah.

"Masyarakat kampung tidak harus hanya melihat hasil sumber asli sebagai punca pendapatan sebaliknya mengusahakan industri kecil untuk memberikan nilai tambah kepada hasil sumber asli Sabah.

"Sekiranya inisiatif OD1SI berjaya maka masyarakat Sabah akan menikmati pendapatan yang lebih tinggi.

"Hasil Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah juga akan turut meningkat," katanya pada Majlis Pelancaran Festival Industri Kecil Sabah (FIKS) dan Program OD1SI, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau  disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Shafie berkata, IKS di Sabah sudah menyediakan peluang pekerjaan untuk seramai 450,000 orang pada tahun 2015 dan mengharapkan menjelang 2023, IKS di bawah pimpinan Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Sabah terus dapat menyediakan 600,000 peluang pekerjaan.

"Dengan pelancaran FIKS dan OD1SI, ia akan memastikan semua golongan masyarakat di setiap pelosok Sabah termasuk belia dan wanita sama-sama berpeluang untuk turut berkecimpung dalam industri kecil dan pada waktu yang sama, terlibat dalam memajukan ekonomi setempat.

"Kepesatan pembangunan IKS turut akan menyediakan platform keusahawan dan menjana pendapatan setempat," katanya.

Jelasnya, usaha berkenaan pasti akan meramaikan lagi usahawan tempatan, menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan setempat.

Hadir sama, Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Aidi Mokhtar, Menteri Pembangunan Luar Bandar Ewon Benedick, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Ahmad Abdul Rahman dan Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Uda Sulai.

Advertisement