Anda di sini

Mayat remaja lemas di Nanga Entawan ditemui

Mayat mangsa sedang dibawa keluar dari sungai sebelum diserahkan kepada polis pagi tadi.
Mayat mangsa sedang dibawa keluar dari sungai sebelum diserahkan kepada polis pagi tadi.
 

KAPIT: Mayat seorang remaja yang terjatuh ke dalam sungai ketika mandi di Nanga Entawan pada Isnin, dijumpai oleh ahli keluarganya hari ini.

Menurut maklumat daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kapit, mangsa dikenalpasti dipercayai terjatuh ketika sedang mencedok air semasa mandi bersama dua rakannya di lokasi kejadian.

Mangsa dikenali sebagai Boniface Boll, 18, dikatakan baru balik dari tempat kerja apabila berhasrat menyertai dua rakan sekerjanya mandi di tepi sungai.

Ketua Balai Bomba Kapit Erwandy Tugar ketika dihubungi berkata, mayat mangsa ditemui lebih kurang 500 meter dari tempat mangsa terjatuh sekitar jam 7.55 pagi.

"Difahamkan, mangsa telah tergelincir ketika mencedok air dan mereka gagal menyelamatkannya," katanya.

Katanya, dua rakan mangsa telah memaklumkan kepada keluarga mangsa sebelum ayah mangsa membuat laporan polis.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.