Anda di sini

Lebih 4,000 tetamu tonton persembahan pembukaan ‘Encore Melaka’

Advertisement
 

LEBIH daripada 4,000 tetamu hadir  menyaksikan persembahan  pembukaan rasmi teater  berprestij, ‘Encore Melaka’, di Melaka baru-baru ini.

Pementasan  teater selama 70 minit itu diarahkan oleh pengarah teater terkenal dari China, Wang Chaoge itu melibatkan enam babak penceritaan yang diinspirasikan daripada identiti masyarakat Melaka yang berbilang bangsa hidup dalam suasana yang harmoni.

Antara enam babak yang dipersembahkan ialah kisah Parameswara membuka Kota Melaka, diikuti dengan kisah pelayaran Laksamana Cheng Ho ke Melaka, persembahanan tarian masyarakat Baba Nyonya dan persembahan diakhiri dengan 200 pelakon dan penari mengucapkan selamat jalan kepada penonton.

Majlis pembukaan teater itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari, yang turut dihadiri oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Pengerusi Yong Tai Berhad, Datuk Syed Norulzaman Syed Kamarulzaman, menerusi satu kenyataan hari ini, berkata acara istimewa yang dibawakan oleh Yong Tai Berhad itu adalah bagi meraikan 10 tahun Melaka diisytiharkan sebagai Kota Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Beliau berkata kemudahan  teater yang boleh berputar 360 darjah itu bukan hanya memberi lebih  banyak pilihan kepada pelancong datang ke sini tetapi turut  membantu pertumbuhan ekonomi dan pelancongan negara.

Katanya, beliau sendiri memilih Melaka sebagai tapak ‘Impression Series’ di luar negara China kerana negeri ini kaya dengan sejarah.

Teater, dengan teknologi yang inovatif pertama seumpanya di Asia Tenggara itu dibina dengan nilai RM100 juta, dijangka mampu menyumbang kira-kira RM60 juta  untung bersih setiap tahun,  mampu menarik pelancong dari seluruh dunia terutama dari China, Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah. — Bernama

Advertisement