
KOTA KINABALU: Hospital Tuaran menawarkan perkhidmatan baharu iaitu MediLocker (Locker4u) yang pertama kali diperkenalkan di Sabah, sekaligus memberi nilai tambah kepada sektor perkhidmatan pesakit di hospital berkenaan.
Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Stephen Wong Tien Fatt berkata, perkhidmatan itu bertujuan memudahkan pesakit mendapatkan bekalan susulan ubat-ubatan selepas waktu bekerja.
"Loker4u adalah satu sistem semua ubat susulan yang diperlukan setiap pesakit akan diletakkan dalam loker khas yang disediakan.
"Mereka (pesakit) hanya perlu mengambil ubat masing-masing di dalam loker berkenaan. Pihak hospital akan memberi pesakit kunci untuk mereka membuka loker itu tanpa perlu beratur panjang di farmasi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan perkhidmatan berkenaan serta pelancaran Taman Herba Fasa 3, di sini hari ini.
Jelas Stephen, perkhidmatan itu ditawarkan kepada pesakit yang mendapatkan rawatan di Hospital Tuaran sahaja dan menerima preskripsi jangka masa panjang dengan syarat-syarat tertentu.
Katanya, setiap pesakit akan diberikan loker dan kunci persendirian yang mana kunci itu hanya dimiliki pesakit dan pihak hospital.
"Untuk pengetahuan semua, setiap pesakit memenuhi kriteria dan berminat untuk menggunakan perkhidmatan ini akan didaftarkan.
"Pesakit yang layak menerima perkhidmatan ini adalah yang memahami terapi perubatan sendiri, stabil, cara pengambilan ubat yang betul dan mempunyai dua atau lebih jenis ubat," katanya.
Justeru, beliau berharap perkhidmatan itu akan digunapakai oleh semua pesakit yang memerlukan, selain bilangan loker akan terus ditambah dari semasa ke semasa mengikut permintaan.