Anda di sini

Rakyat Malaysia ucap selamat hari jadi, doa untuk Dr Mahathir

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Ulang tahun ke-93 Tun Dr Mahathir Mohamad (foto) pada tahun ini bukan sahaja lebih istimewa kerana kembali menjadi Perdana Menteri Malaysia, malah beliau mendapat perhatian luar biasa dari seluruh rakyat Malaysia. 

Sejak semalam Dr Mahathir dihujani ucapan selamat dan tahniah serta doa kesejahteraan dirinya melalui media sosial daripada pelbagai lapisan masyarakat, tidak mengira peringkat umur, bangsa, agama serta latar belakang.

Perdana Menteri yang ke-7 itu, yang dilahirkan di seberang Perak, Alor Star, Kedah pada 10 Julai 1925 pernah menjadi Perdana Menteri ke-4 bermula 1981 sehingga 2003. 

Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam laman facebooknya tidak ketinggalan membingkiskan ucapan selamat ulangtahun kepada Dr Mahathir.

“Selamat kembali  untuk membina warisan politik demokrasi, keadilan dan perpaduan baru serta Malaysia sebagai negara kelas tinggi  antarabangsa yang merupakan" mercu cahaya dalam dunia yang terganggu," ucapnya.

Manakala anak Dr Mahathir yang juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam satu rakaman video menzahirkan ucapan mewakili seluruh rakyat negeri Kedah.

Dalam video berdurasi kira-kira 40 saat yang dimuat naik melalui Mukhriz Mahathir FC itu, Mukhriz berharap ayahnya terus diberi kesihatan yang baik dalam memimpin negara ini.

"Saya mewakili seluruh rakyat Kedah berharap kepada ayahanda Tun M supaya terus dipanjangkan usia, disihatkan tubuh badan, terus waras akal fikiran, bijaksana, terus diberi petunjuk dan hidayah untuk memimpin negara ke tahap yang lebih makmur aman dan sejahtera," katanya.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa turut tidak ketinggalan memuatnaik pada laman twitternya dalam dwibahasa dengan mengucapkan "Selamat hari lahir YAB PM @chedetofficial. semoga dikurniakan kesihatan berpanjangan/Happy Birthday YAB PM. Best wishes and good health always".  

Dalam pada itu, Panglima Angkatan Tentera (ATM) Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dalam satu rakaman video mewakili warga ATM berkata semangat gigih pemimpin berusia 93 tahun itu menjadi pembakar semangat untuk pasukan keselamatan itu dalam menjaga keamanan negara.

"Kami mengambil semangat daripada Tun yang telah 93 tahun tetapi masih lagi berusaha untuk  memartabatkan negara.

Kami akan mengambil semangat itu sebagai satu perjuangan dan contoh untuk memimpin ATM," katanya dalam video yang dimuatnaik dalam facebook Markas Angkatan Tentera Malaysia itu.

Manakala rakyat Malaysia juga tidak ketinggalan mengucapkan selamat ulangtahun kepada Dr Mahathir melalui media sosial dengan tanda pagar #TunM93. 

Rata-rata netizen mendoakan agar Perdana Menteri ke-7 itu terus diberikan kesihatan dan kecerdasan untuk memimpin negara.

Ia termasuk kumpulan artis Caliph Busker yang merakamkan video bersama 'live band' mereka menyanyikan lagu 'Selamat Hari Lahir' kepada Dr Mahathir melalui facebook mereka. 

"Hanya doa tertulus bersama harapan teratas. Agar kesihatan dan kecerdasannya terus terpelihara. Sehingga bumi ini pulih seperti sediakala

"Salam ulangtahun kelahiran ke-93 buat sosok teragung, negarawan terulung; Tun Dr. Mahathir Mohamad," kata netizen yang di dikenali sebagai Azrul Amila Amir. - Bernama
 

Advertisement