Anda di sini

Petronas tidak terkecuali, mesti patuh OMO 1958

Advertisement
Awang Tengah ketika membaca RUU Perlombongan Minyak Sarawak (Pindaan) 2018 untuk kali kedua pada persidangan DUN, hari ini.

KUCHING: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) tidak terkecuali daripada mematuhi Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 atau Kanun Tanah Sarawak apabila syarikat itu termasuk kontraktornya meneroka, mencari prospek dan pelombong minyak di negeri ini.

Perkara itu ditegaskan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan ketika membaca Rang Undang-Undang (RUU) Perlombongan Minyak Sarawak (Pindaan) 2018 untuk kali kedua pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Ujarnya, kerajaan negeri tidak pernah mengecualikan kewajipan Petronas dan kontraktornya untuk mematuhi undang-undang negeri apabila menjalankan aktiviti huluan di luar pantai dan luar negeri Sarawak.

"Tujuan mengawal selia aktiviti-aktiviti huluan Petronas dan kontraktornya ialah untuk memastkan mereka mematuhi undang-undang negeri (Sarawak)," ujarnya.

Beliau menambah, undang-undang itu adalah untuk memastikan pengeksploitasian sumber-sumber berharga Sarawak dilakukan dengan cara yang betul demi kepentingan negeri ini serta rakyatnya.

Sementara itu, ketika menyampaikan ucapan penggulungan sebelum RUU itu diluluskan, Awang Tengah berkata, penguatkuasaan OMO 1958 adalah bagi membolehkan kerajaan negeri Sarawak memperkukuhkan lagi kuasa mengawal selia aktiviti menerokai dan mencari prospek petroleum.

Ia diluluskan selepas dibahas 13 ahli Dewan daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, kerajaan negeri memutuskan untuk memberi tempoh hingga hujung tahun hadapan kepada industri minyak dan gas yang sudah beroperasi di Sarawak mematuhi OMO 1958.

"Apa yang penting sekarang ialah, Sarawak mengambil langkah untuk memastikan semua pihak mengambil langkah sewajarnya memastikan operasi mereka tidak melanggat undang-undang negeri," katanya.

Tegasnya lagi, Sarawak mengadakan beberapa sesi penjelasan dengan pemain-pemain industri semenjak 16 Mei tahun ini, memaklumkan maklumat penting serta hala tuju kepada semua syarikat terlibat dalam industri minyak dan gas di Sarawak termasuk Petronas.

"Kita memberi jaminan, jika ada keperluan sebenar, pindaan yang perlu dibuat untuk meningkatkan jumlah denda dikenakan (kepada syarikat yang ingkar)," katanya.

  • oleh
  • Advertisement