Anda di sini

Laksana manifesto PRU14

Advertisement
 Tun Taib bersama Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Speaker DUN Datuk Amar Mohamad Asfia  Awang Nassar pada Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri di Kuching, semalam. Turut kelihatan, Timbalan-Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Tan Sri Datuk Amar James Masing dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
RASMI PERSIDANGAN: Tun Taib bersama Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Speaker DUN Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar pada Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri di Kuching, semalam. Turut kelihatan, Timbalan-Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Tan Sri Datuk Amar James Masing dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mahu semua manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dilaksanakan agar rakyat menerima manfaat.

Beliau percaya rakyat Sarawak meletakkan harapan yang amat tinggi kepada kerajaan persekutuan dalam meneruskan pembangunan.

"Sarawak masih memerlukan projek-projek infrastruktur dan kemudahan asas khususnya di luar bandar.

"Sarawak amat luas dan penempatan penduduk pula bertaburan di kawasan luar bandar.

"Jaringan jalan raya perlu ditingkatkan dan liputan bekalan air dan elektrik perlu diperluaskan," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, semalam.

Sambil mengucapkan tahniah kepada PH atas kejayaan membentuk kerajaan persekutuan, beliau berkata penyediaan perkhidmatan pendidikan dan kesihatan yang berkualiti kepada rakyat juga perlu diperkasakan.

Kawalan keselamatan juga wajar diperketatkan untuk memastikan rakyat Sarawak hidup dalam keadaan aman dan damai.

Menurutnya, projek-projek kerajaan persekutuan yang memberi impak besar kepada Sarawak wajar diteruskan khususnya projek-projek di luar bandar.

Projek infrastruktur seperti Lebuh Raya Pan Borneo hendaklah disiapkan mengikut perancangan.

Projek ini amat penting dalam membangunkan sosioekonomi.

"Saya juga berharap pembangunan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) turut diperkasakan.

“Pelaksanaan pelan SCORE penting untuk melonjakkan ekonomi Sarawak ke tahap yang lebih tinggi," ujarnya.

Malahan, sokongan kerajaan persekutuan diperlukan agar pembangunan ekonomi digital Sarawak dapat dijayakan dalam usaha merapatkan jurang digital.

Tun Taib turut gembira apabila Kerajaan Sarawak mengambil pendekatan mesra dan bekerjasama rapat dengan kerajaan persekutuan meskipun berbeza parti politik.

Ia jelas menunjukkan kematangan politik demi pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.

Beliau berharap kerajaan persekutuan akan melaksanakan tanggungjawab kepada pembangunan di Sarawak selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Saya percaya keikhlasan Kerajaan Sarawak untuk bekerjasama dengan kerajaan persekutuan akan memastikan segala perancangan pembangunan di negeri ini akan dapat dilaksanakan dengan jayanya," katanya.

  • oleh
  • Advertisement