Anda di sini

Hannah John-Kamen teruja menjadi watak jahat wanita kedua Marvel

Advertisement
Hannah John-Kamen
Hannah John-Kamen

APABILA Hannah John-Kamen dimaklumkan dia akan menjadi penjahat besar baharu Marvel, dia mendengking, meletak telefon ke bawah dan mendendangkan ‘Do My Thang’, iaitu lagu Miley Cyrus yang memperkasakan sikap berdikari.

‘Wrecking Ball’ mungkin lagu yang lebih sesuai jika mengambil kira pengenalan aktres itu yang mengejutkan dan menakjubkan dalam ‘Ant-Man and the Wasp’ sebagai Ghost, entiti halus yang dapat menembusi dinding tetapi memiliki tumbukan yang amat kuat.

“Saya kembali ke London dan saya menerima panggilan, dan ia semua ejen saya. Saya ingat saya terus menjerit. Saya berada di pangsapuri saya, saya berjalan mundur-mandir dan berkata ‘Ya Tuhanku, ya Tuhanku!’” kata warga Britain berusia 28 tahun itu.

“Saya begitu teruja, dan kemudian saya terus menyanyikan lagu Miley Cyrus ‘Do My Thang’. Saya tidak tahu kenapa, ia ada dalam senarai lagu saya, dan saya menyanyikannya dan menari sahaja.”

Di Hollywood, watak dalam filem Marvel yang bertahan hingga ke kredit pada hujung filem boleh menjadi kunci kepada kejayaan, yang menawarkan penampilan susulan dalam filem keluaran sampingan dan semua bentuk cerita ‘Avengers’.

John-Kamen – yang mempunyai kredit dalam ‘Game of Thrones’ dan ‘Black Mirror’ selain watak dalam ‘Star Wars: The Force Awakens’, ‘Tomb Raider’ dan ‘Ready Player One’ – sudah bersiap untuk menjadi ‘superstar’.

Anak perempuan seorang saintis forensik dari Nigeria dan bekas model fesyen Norway dari timur laut England, dia masih mencubit diri setiap kali dia memikirkan tentang bekerja dengan Steven Spielberg.

Dia menggambarkan bagaimana dia menerima arahan dari ikon itu dalam filem blockbuster musim bunga ‘Ready Player One’, di mana dia membawa watak ketua geng pemain permainan video yang jahat F’Nale Zandor, sebagai “menakjubkan sama sekali”.

“Tiada perasaan seperti apabila kita sudah membuat satu adegan dan dia begitu gembira dan dia akan berkata, ‘Itulah momen filem!’ Dan kita mendengarnya dari Spielberg,” katanya kepada AFP dalam satu temu bual di Pasadena, selatan California.

“Maksud saya, ia gila. Kami akan menyanyikan lagu-lagu program bersama. Kami akan menyanyikan lagu ‘Singin’ in the Rain’, kami akan menyanyikan lagu ‘Guys and Dolls’. Di tengah-tengah adegan, kami akan duduk. Kadang-kadang kami akan mencetak lirik dan kami berlagu sahaja.”

Spielberg, menurut John-Kamen, memiliki “suara yang hebat” dan kegembiraan pada dirinya yang menjadikan set penggambaran filemnya sebuah “taman permainan menyeronokkan di mana kita berpeluang untuk masuk dan bermain”.

‘Ant-Man and the Wasp’, yang kini ditayangkan di pawagam, merupakan sekuel kepada ‘Ant-Man’ pada 2015, terbitan ke-20 dalam Marvel Cinematic Universe (MCU) Disney, dan filem pertama yang memaparkan seorang wanita dalam watak tajuk.

Dibintangi Paul Rudd dan Evangeline Lilly, ia juga merupakan filem MCU kedua dengan seorang wanita sebagai musuh utama, selepas watak Hela lakonan Cate Blanchett dalam ‘Thor Ragarnok’ (2017).

Ava/Ghost lakonan John-Kamen – seorang pengkhianat anti-kapitalis yang menjadi penjahat besar dalam buku komik – memperolehi kuasanya yang penuh misteri dalam satu kemalangan makmal yang menjadikan sel-selnya tidak dapat dilihat.

“Ia adalah watak lelaki dalam buku komik tetapi untuk menjadi orang pertama yang mengeluarkannya dari muka surat dan benar-benar memberinya nyawa, ia adalah satu penghormatan,” kata John-Kamen.

- Pertaruhan tinggi -

Aktres itu berkata ia adalah penting untuk tidak membawa watak Ghost seperti penjahat tradisional – tiada rancangan yang sangat kejam untuk mengambil alih planet – sebaliknya mempamerkan lakonan dengan perbezaan halus yang menekankan tragedinya.

“Saya melakukan ini kerana satu sebab, sebagai satu objektif. Pertaruhan adalah tinggi. Saya tidak fikir kita hanya bangun pada sebelah pagi dan berkata, ‘Ha ha ha! Dominasi dunia – seronok bunyinya!” kata aktres itu.

“Jadi saya sudah tentulah menanganinya dengan minda yang berfikir, ‘Okay, dia orang baik dan semua orang lain boleh pergi jahanam’.”

Penerbit eksekutif Stephen Broussard berkata Marvel mencari seseorang yang tidak begitu dikenali dan tertarik dengan “intensiti John-Kamen, kelemahannya dan dengan kelucuannya”.

Latihannya pada masa lalu sebagai seorang penari digabung dengan keinginan untuk menghidupkan sepenuhnya cerita latar Ghost yang lusuh menjadikannya paling sesuai untuk watak itu, tambahnya.

Menurut adat Marvel, John-Kamen pada mulanya tidak diberitahu banyak perkara tentang watak itu tetapi menikmati “setiap minit” dalam proses uji bakat, yang akhirnya membawanya ke Atlanta untuk berjumpa dengan pengarah Peyton Reed.

“Kita fikir dengan uji bakat kita akan berkata, ‘Aduh, saya begitu gementar. Aduh, saya menggigil’. Sudah tentulah saya begitu gelisah tetapi saya ingat bagaimana saya masuk sahaja dan berkata, ‘Oh, okay – saya rasa amat relaks’,” katanya.

“Saya amat teruja mengenai bahan ini dan apa yang kami dapat buat, dan saya teruja untuk menunjukkan kepada anda apa yang saya hadapi.” — AFP

Advertisement