Anda di sini

Cekal melawan penyakit

Advertisement
 A Story of Hope, Courage, Strenght and Strenght’ daripada Emelyne. Turut kelihatan Fatimah (kiri) dan Ahli Lembaga Dewan Bandaraya Kuching Utara Datuk Wee Hong Seng (tiga kanan).
TERIMA KASIH: Manyin menerima buku ‘The Journey to Becoming Fearless: A Story of Hope, Courage, Strenght and Strenght’ daripada Emelyne. Turut kelihatan Fatimah (kiri) dan Ahli Lembaga Dewan Bandaraya Kuching Utara Datuk Wee Hong Seng (tiga kanan).

KUCHING: Seorang bekas pesakit (survivor) talasemia, Emelyne Carmen Ho melancarkan buku ‘The Journey to Becoming Fearless: A Story of Hope, Courage, Strenght and Strenght’ yang berkisarkan tentang kehidupannya melawan penyakit itu sejak berumur empat tahun.

Walaupun Emelyne, 20, sudah pulih sepenuhnya daripada penyakit talasemia, namun beliau kemudiannya disahkan menghidap ‘Graft Versus Host Disease’ (penyakit akibat penolakan graft oleh hos), bilateral katarak dan diabetes tahap satu.

Majlis pelancaran buku itu disempurnakan Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong dan turut dihadiri Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Berucap pada majlis itu, Emelyne berkata,  perjalanannya melawan penyakit yang dihadapinya itu membuatkan beliau kini lebih kuat dan tabah.

"Pada mulanya saya mengakui amat sedih dan tertekan. Bayangkan, sejak usia empat tahun saya menghidap talasemia iaitu sejenis penyakit genetik yang mengganggu pembentukan sel-sel darah merah yang normal.

"Setiap hari saya terpaksa menahan kesakitan apabila perlu memasukkan jarum ke dalam perut selama 12 jam selain melakukan pemeriksaan dan pemindahan darah di hospital.

“Itulah kehidupan yang perlu saya lalui sebagai seorang pesakit talasemia apatah lagi ketika itu, saya masih kecil dan hidup dalam ketakutan," katanya.

Namun kata Emelyne, penyakit itu sudah pulih sepenuhnya setelah beliau menjalani pemindahan sumsum tulang pada 2000 di mana rawatan itu dikatakan adalah penawar kepada penyakit yang dihidapinya itu.

"Selepas kejayaan menjalani pemindahan sumsung tulang, saya kemudiannya diberitahu oleh doktor bahawa saya menghidap penyakit Graft Versus Host Disease disebabkan komplikasi serius daripada pemindahan sumsung tulang. Penyakit ini menyebabkan perubahan warna kulit dan rambut saya botak.

"Akibat perubahan fizikal itu, saya dibuli, diejek, dihina dan dijauhi oleh rakan-rakan di sekolah. Masa itu saya rasa amat sedih tetapi setelah mendapat nasihat dan sokongan daripada ibu bapa dan guru, saya tidak lagi risau malah semakin lega," katanya.

Ibarat jatuh ditimpa tangga katanya, dugaan yang dihadapinya itu tidak berhenti begitu sahaja kerana beliau disahkan turut menghidap bilateral katarak dan diabetes tahap satu.

"Sekali lagi saya rasa amat sedih dan tertekan. Bagaimanapun, setelah bertahun-tahun bergelut dengan ketakutan dan badan yang sangat lemah, suatu hari di mana akhirnya saya belajar erti sebenar kasih sayang, kepercayaan, penerimaan, harapan dan bersyukur.

"Maka itu, pada 29 Sepember 2017, saya telah membuat keputusan berani untuk berkongsi kisah kehidupan dan pengalaman melawan penyakit yang saya hadapi kepada orang awam dengan akhirnya terhasil buku yang bertajuk ‘The Journey to Becoming Fearless A Story of Hope, Courage, Strenght and Strenght’," katanya.

Sementara itu, Manyin dalam ucapannya memuji usaha Emelyne kerana berjaya menghasilkan sebuah buku yang akan memberi insiprasi kepada anak-anak muda untuk berani menghadapi apa jua cabaran dan halangan dalam hidup mereka.

"Janganlah kita berasa takut sebaliknya berani menghadapi apa jua rintangan yang mendatang. Justeru, semaikan pemikiran yang positif dalam diri masing-masing kerana saya percaya ia akan membawa ke arah kehidupan yang lebih positif kepada diri sendiri dan keluarga," katanya.

Manyin dalam pada itu mengingatkan orang ramai supaya menjaga kesihatan diri dan sentiasa membuat pemeriksaan kesihatan awal.

Pada majlis itu, Emelyne menyumbang bukunya kepada empat persatuan di negeri iaitu Diabetes Malaysia Cawangan Negeri Sarawak, Sarawak Thalassemia Society, Mental Health Association of Sarawak dan Kuching Palliative Association.

  • oleh
  • Advertisement