Anda di sini

Ordinan perlu dipatuhi

Advertisement
 Abang Johari (tiga kiri) bersama Juma’ani (empat kanan) serta tetamu kenamaan lain memotong pulut kuning sebagai simbolik Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bersama Ketua Menteri di Stadium Tertutup Miri semalam.
SIMBOLIK: Abang Johari (tiga kiri) bersama Juma’ani (empat kanan) serta tetamu kenamaan lain memotong pulut kuning sebagai simbolik Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bersama Ketua Menteri di Stadium Tertutup Miri semalam.

MIRI: Semua syarikat minyak yang beroperasi di Sarawak perlu patuh dengan Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO58) iaitu kuasa mutlak Sarawak dalam industri gas dan minyak.

Perkara itu ditegaskan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bagi memastikan syarikat-syarikat minyak di Sarawak tidak menafikan hak Sarawak.

“Kita akan membawa OMO58 ke Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu depan untuk digubal dan dinaik taraf sesuai dengan keperluan semasa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bersama Ketua Menteri anjuran bersama Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Miri (LAKMM) dan Gabungan Kesatuan Islam Miri di Stadium Tertutup Miri, semalam. 

Turut hadir isteri beliau Datin Patinggi Dato Juma’ani Tuanku Bujang, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Rosey Yunus, Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni, Pengerusi LAKMM Dato Abdillah Abdul Rahim, Pengerusi Persatuan Melayu Miri Radzali Alision.

Abang Johari berkata, Sarawak mempunyai kuasa kawal selia minyak dan gas serta mampu mengurus sendiri industri hiliran minyak dan gas di negara ini.

Dalam perkembangan lain, Abang Johari berkata, keputusan keluar daripada Barisan Nasional (BN) seterusnya membentuk perikatan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dibuat demi menjamin masa depan Sarawak.

“Sarawak tidak akan dapat mempertahankan hak-hak terhakis dalam Perjanjian Malaysia (MA) 1963 sekiranya masih bersama BN,” jelasnya.

Menurutnya lagi, jika Sarawak masih di bawah rangka kerjasama dalam BN, ia tidak dapat memberikan platform untuk mempertahankan hak Sarawak.

“Mengikut peraturan dalam BN, kita mesti berpaut kepada keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan BN, selalunya berpangkalan di Kuala Lumpur. Mahu tidak mahu, apa yang diperkatakan oleh Kuala Lumpur kita ikut.

“Kalau di Parlimen ada peraturan ‘parliamentary whip’ (parti politik yang tugasnya untuk memastikan disiplin parti dalam badan perundangan) dan sekiranya undang-undang yang dibuat di Parlimen bercanggah dengan undang-undang ataupun kehendak kita, maka kadang-kadang, ‘parliamentary whip’ akan digunakan.

“Sebagai anggota dalam kumpulan tersebut, kita tidak dapat membangkang kerana ‘parliamentary whip’ mengarahkan kita supaya patuh kepada keputusan mereka,” jelasnya.

Abang Johari menambah, mahu tidak mahu, Sarawak perlu keluar daripada BN dan menjadi parti bebas untuk meneruskan usaha Allahyarham Tok Nan memajukan Sarawak.

Justeru, beliau berkata, berdasarkan itu, parti-parti yang ditubuhkan di Sarawak telah membuat keputusan untuk keluar daripada Barisan Nasional (BN).

“Jika takut, kita tidak akan melawan Petronas dalam usaha kita mengambil hak kita dalam kawal selia industri minyak dan gas, khususnya ‘regulatory power’ yang ada dalam Sarawak,” tegasnya.

Maka katanya, usaha untuk melawan habis-habisan dilakukan walaupun sampai ke mahkamah yang akhirnya membuat keputusan yang memihak kepada Sarawak.

  • oleh
  • Advertisement