Anda di sini

Sabar resipi kejayaan Augustine Joe hasilkan album solo ‘Gelama Ati’

Advertisement
 Augustine Joe menunjukkan album baharunya ‘Gelama Hati’ semasa ditemuramah oleh penulis di Sibu, baru-baru ini.
JOM BELI: Augustine Joe menunjukkan album baharunya ‘Gelama Hati’ semasa ditemuramah oleh penulis di Sibu, baru-baru ini.

BERKAT kesabaran serta sanggup berdepan dengan pelbagai rintangan dan kesukaran adalah resipi kejayaan pendatang baharu industri muzik Iban, Augustine Joe dalam menghasilkan album solonya ‘Gelama Ati’ keluaran AJP Production di Sibu pada Mac lepas.

Lelaki berusia 40 tahun yang berasal dari Rumah Sipok, Sungai Assan, Sibu ini merupakan semifinalis Bintang Lagu Iban SIBUfm 2013 dan menyifatkan bidang nyanyian adalah bukan asing bagi dirinya.

Menurutnya, beliau meminati bidang nyanyian sejak di bangku sekolah lagi dan sering menyertai beberapa siri pertandingan karaoke dan nyanyian lagu Iban di sekitar bahagian Sibu.

“Kejayaan menghasilkan album solo adalah cita-cita saya sejak dari dahulu lagi dan kini ia dapat direalisasikan atas berkat kesabaran yang tinggi.

“Tanpa kesabaran yang tinggi, mungkin saya tidak berada di tahap ini,” katanya kepada Utusan Borneo semasa ditemui di Sibu, baru-baru ini.

Augustine memberitahu sebelum berjaya menghasilkan album tersebut, dia terpaksa mengharungi pelbagai dugaan dan cubaan yang dianggap menguji tahap kesabarannya.

“Antara yang dihadapi adalah faktor kewangan, masa dan penghafalan. Kos yang meningkat dalam penghasilan album turut dirasai kerana semuanya memerlukan kos untuk membayar komposer, penulis lirik, sewa studio dan sebagainya.

“Selain itu, ketetapan masa yang agak terhad serta masalah penghafalan lirik lagu juga turut menjadi bebanan. Kalau tiada kesabaran semua ini tidak akan menjadi,” tegasnya.

Beliau beranggapan menjadi seorang penyanyi perlu mempunyai tahap kesabaran yang tinggi serta mempunyai moral yang kuat untuk menuju kejayaan.

Jelasnya, dia sudah beberapa kali hampir putus asa namun berkat dari kesabarannya yang tinggi dia terus melangkah demi cita-citanya itu.

“Apa yang penting perlu adalah fokus dan teruskan usaha,” katanya sambil memberitahu bahawa dia terpaksa berjimat cermat dalam perbelanjaan harian demi cita-citanya itu.

Bercakap mengenai album baharunya, Augustine berkata, album itu memuatkan sebanyak lapan buah lagu.

Lagu-lagu itu ialah ‘Gelama Ati’, ‘Nuan Ungkup Aku’, ‘Di Rachun Pengeridu’, ‘Dara Jala Pisit’, ‘Dendam Dalam Ati’, ‘Anang Betanguh-Tanguh’, ‘Bedau Temu Tuju Nuan’ dan ‘Sakit Anggau Pengerindu’.

Antara lagu hits yang sering menjadi siulan ramai ialah ‘Di Rachun Pengeridu’, ‘Sakit Anggau Pengerindu’, ‘Nuan Ungkup Aku’ dan ‘Gelama Ati’.

Beliau memberitahu album ini disiapkan dalam tempoh setahun dan ia mula berada di pasaran sejak Mac lepas.

“Konsep ataupun genre muzik di dalam album ini ialah Twist, Dangdut dan Slow Rock yang sesuai didengar oleh semua lapisan masyarakat.

“Untuk pengetahuan semua, album saya ini hampir habis dijual dan kini saya sedang berunding dengan syarikat pengeluar untuk membuat cetakan kali kedua. Sambutannya sangat memuaskan,” tambahnya lagi yang gemarkan penampilan kasual.

Album edaran Curcuma Records ini telah mempertaruhkan dua pemuzik baharu iaitu Kitz dan Pakcik Ok yang masing-masing menyumbang idea dalam album tersebut.

Augustine berkata, penggambaran klip video albumnya ini dijalankan di sekitar bandar Sibu.

Beliau yang turut meminati penyanyi-penyanyi popular seperti Mark Bennet, Jessica Remaya, Winnie Albert, Peter Aaron, Sijah, Toddy dan Lucy M ini sering menerima undangan menyanyi di beberapa majlis keramaian termasuk pesta ria di sekitar Sibu dan Selangau.

“Saya berharap album ini akan terus diterima para peminat di luar sana dan saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada sokongan anda dalam masa yang singkat ini. Apa yang penting belilah yang tulen serta tolak gejala cetak rompak,” tambahnya.

  • oleh
  • Advertisement