Anda di sini

RM47 juta untuk naik taraf bekalan air di Niah

Advertisement
 Abng Johari (empat kiri) membuka buluh lemang sebagai simbolik merasmikan majlis tersebut.
Abang Johari membuka buluh lemang sebagai simbolik merasmikan majlis tersebut.

NIAH: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini mengumumkan kelulusan peruntukan RM47 juta bagi projek naik taraf bekalan air di Niah. 

Jelas beliau, peruntukan daripada kerajaan negeri Sarawak itu akan disalurkan kepada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) untuk melaksanakan projek naik taraf sistem perpaipan air dari Loji Rawatan Air Laku di Lambir sehingga ke Niah. 

"Kerajaan negeri peka terhadap masalah bekalan air yang masih lagi berlaku di beberapa kawasan dan terpaksa dihadapi oleh rakyat. Nak tunggu peruntukan dari persekutuan memang lambat, biar Sarawak cari jalan penyelesaian sendiri. 

"Dengan ini, saya luluskan peruntukan daripada kerajaan negeri berjumlah RM47 juta dengan serta merta agar dalam tempoh setahun setengah, masalah air di kawasan ini dapat kita atasi," katanya ketika berucap pada Majlis Melanggar Meja dan Ramah Mesra Aidilfitri 2018 di Dewan Masyarakat Sepupok, Niah di sini, pagi tadi. 

Abang Johari menambah, kelulusan peruntukan itu sedikit sebanyak diharap dapat membantu pembangunan infrastruktur di kawasan sekitar Niah. 

"Untuk projek-projek lain seperti Niah Waterfront dan pasar tamu di Niah, kita juga boleh luluskan peruntukan namun keutamaan saya adalah untuk kerajaan negeri menyelesaikan dahulu masalah bekalan air di sini," katanya. 

Hadir sama, isterinya Datin Patinggi Datuk Juma'ani Tuanku Bujang; Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah; Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Rosey Yunus; Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni dan Ahli Dewan Undangan Negeri Lambir Ripin Lamat. 
 

  • oleh
  • Advertisement