Anda di sini

‘Hantu Kak Limah’ temui penonton di layar perak mulai 9 Ogos depan

Advertisement
 

BAGI peminat filem tempatan dan hasil karya pengarah Mamat Khalid tentunya tidak asing dengan naskhah trilogi Kampung Pisang iaitu ‘Zombi Kampung Pisang’ (2007), ‘Hantu Kak Limah Balik Rumah’ (2010) dan ‘Husin Mon Jin Pakai Toncit’ (2013).

Menariknya, filem ‘Hantu Kak Limah Balik Rumah’ pernah mencatat kejayaan besar apabila meraih kutipan RM8 juta.

Satu Majlis Perlancaran Promosi Filem Hantu Kak Limah (HKL) telah pun diadakan di Art Hall, Pusat Perlancongan Malaysia (Matic), Kuala Lumpur pada 26 Jun lepas yang turut dihadiri oleh pelakon, penerbit dan pengarah.

Uniknya sesi perasmian filem kali ini berkonsepkan majlis resepsi walimatul urus bagi meraikan perkahwinan Kak Limah dan Khuda.

Sehari sebelum majlis perasmian, telah berlang-sungnya sesi berinai buat pengantin Kak Limah. Selepas itu majlis diteruskan dengan majlis nikah.

Berbalik pada majlis resepsi bersanding, bagi melengkapkan majlis yang berkonsepkan perkahwinan tradisional negeri Perak, aturcara disempurnakan dengan adat merenjis tepung tawar. Seterusnya, dalam majlis tersebut juga diteruskan dengan sesi memotong kek sebagai simbolik pelancaran.

Meneruskan francais Kampung Pisang, tahun ini Mamat Khalid kembali dengan buah tangan ter-baru menerusi filem HKL.

Masih mengekalkan genre komedi seram ini, filem ini kembali menam-pilkan Dato’ Awie sebagai Husin dan Delimawati sebagai Kak Limah.

Manakala, pelakon lain yang sama-sama membintangi naskhah ini adalah Zul Ariffin, Ropie Cecupak, Uqasha Senrose, Mus May, Allahyarham Rab Khalid, Pekin Ibrahim, Sharwani, TJ Isa, Jue Aziz, Sabri Yunus dan ramai lagi.

Istimewanya, Kampung Pisang menampilkan cameo dari figura popular tanah air Erra Fazira dan Dato’ Seri Vida.

Filem ini bakal menemui penonton di layar perak bermula 9 Ogos 2018.

HKL adalah kerjasama pertama Astro Shaw dan Infinitus Gold dan ini adalah filem kedua terbitan Infintus Gold.

Menurut Naib Presiden & Ketua Bahagian Melayu dan Nusantara, Kumpulan Kandungan Astro, Dato’ Khairul Anwar Salleh ini adalah satu penghargaan untuk kerjasama sulung antara Astro Shaw dan Infinitus Gold dalam menerbit serta mempromosikan filem.

“Apa yang ditonjolkan dalam filem-filem trilogi Kampung Pisang sebelum ini termasuklah dialog yang dipersembahkan dilihat menjadi ikutan penonton.

“Jesteru, kami percaya penonton akan meletakkan harapan dan jangkaan lebih tinggi terhadap filem HKL yang akan menemui penonton pada bulan Ogos nanti.

“Menyedari hakikat itu, pihak kami dan pihak Infinitus Gold bergabung tenaga untuk mengukuhkan lagi keyakinan penonton terhadap industri perfileman tanah air.”

Penerbit Eksekutif dari Infinitus Gold Gayatri Su-lin Pillai, menyifatkan filem HKL cukup dekat dengannya.

“Sebelum ini saya pernah bersama dengan produksi Astro Shaw/Tayangan Unggul selama 18 tahun dan saya terlibat sebagai penerbit dalam semua francais Kampung Pisang. Kesemua naskhah itu menjadi nostalgia manis buat saya,” katanya.

Sementara itu, lagu bertajuk ‘Srikandi Cinta Ku’ nyanyian asal penyanyi Datuk M. Nasir telah dinyanyikan semula dalam versi baru oleh watak Husin (Dato’ Awie) dan watak Bapak Bunian (Mus May) sekaligus menjadi lagu tema utama filem.

Selain menyaksikan babak nyanyian oleh dua watak ini di dalam filem, penonton juga boleh menikmati muzik video istimewa di akaun YouTube Astro Shaw.

HKL mengisahkan tentang misteri kematian Kak Limah selepas berkahwin dengan lelaki yang jauh lebih muda darinya. Kampung Pisang menjadi riuh gara-gara orang kampung diganggu oleh hantu Kak Limah.

Sementara itu, Husin dan rakannya melihat Kak Limah ada di rumah. Siapakah yang mereka temui sebenarnya? Mereka meminta bantuan Encik Solihin yang merupakan guru silat untuk memburu Kak Limah.

Pelbagai insiden lucu yang berlaku pada penduduk Kampung Pisang sepanjang berdepan dengan Hantu Kak Limah.

Advertisement