Anda di sini

FAM perlu salur subsidi tambahan kepada FAS - Abdul Karim

Advertisement
Abdul Karim pada sidang media bersama (dari kanan) Razali dan Posa.
Abdul Karim pada sidang media bersama (dari kanan) Razali dan Posa.

KUCHING: Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) wajar mendapat subsidi lebih besar dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi menampung kos pengurusan pasukan bola sepak negeri yang kian meningkat.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Sarawak dan Sabah berdepan dilema sama setiap tahun untuk menyertai Liga Malaysia (Liga M) berbanding pasukan-pasukan lain di Semenanjung Malaysia.

Tegasnya, selain kos pengurusan FAS juga perlu menanggung kos penerbangan dan penginapan yang tinggi setiap kali bertandang ke Semenanjung Malaysia. 

“Justeru, jika FAM jika mahu Sarawak dan Sabah terlibat dalam liga, mereka perlu memberi subsidi tambahan kepada Sarawak dan Sabah.

“Tujuan kita mengadakan liga ini atau Piala Malaysia adalah untuk integrasi nasional. Namun mereka perlu faham ia bukan murah, jadi mereka perlu memberi subsidi kepada kita. 

“Jika tidak dapat memberi subsidi, mereka boleh memohon bantuan dari kerajaan persekutuan untuk memberi subsidi kerana kerajaan pusat juga mengambil berat tentang integrasi nasional,” katanya pada sidang media Perlawanan Bola Sepak Antarabangsa dan Simposium Bola Sepak Antarabangsa Sarawak di Stadium Negeri hari ini.

Jelasnya, FAM perlu faham mengenai perkara ini dan mempertimbangkan untuk memberi geran tambahan kepada FAS dan pasukan Sabah jika badan bola sepak negara itu masih berhasrat untuk menjadikan mereka sebahagian daripada pasukan bersaing dalam Liga M.

Dalam nada berbeza, Abdul Karim menggesa Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) memperbaiki lampu limpah di Stadium Negeri dengan segera agar ia dapat digunakan semula untuk melangsungkan perlawanan bola sepak di sebelah malam.

“Secara peribadi saya memang tidak bersetuju perlawanan dibuat pada siang hari kerana satu hari panas dan kedua untuk menarik penonton menyaksikan perlawanan pada hari panas memang tidak selesa.

“Saya sudah memberitahu pihak SSC untuk menyelesaikan masalah ini, namun dari masa saya memberi arahan hingga sekarang agak terlalu sukar untuk mereka melaksanakannya dan saya tidak gembira dengan situasi ini,” jelas beliau.

Tegasnya, kerosakan pada lampu itu turut menyumbang kepada peningkatan kos ditanggung FAS di mana pasukan Sarawak terpaksa bermain di tempat lawan pada bulan puasa lalu.

Hadir sama Presiden FAS Dato Posa Majais dan Naib Presiden FAS Razali Dolhan.

  • oleh
  • Advertisement