Anda di sini

Bursa Malaysia dijangka teruskan momentum meningkat

Advertisement

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka mengekalkan momentum meningkat untuk diniagakan lebih tinggi minggu ini kepada paras 1,720 mata susulan peningkatan semula pada Jumaat, kata peniaga.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Pelaburan Hermana Capital Bhd, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata reaksi pasaran terhadap kemungkinan perang perdagangan global telah reda dan keadaan itu dijangka memulihkan semula sentimen ke atas prospek pertumbuhan dunia.

“Kami berharap perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China hanyalah retorik. Kesimpulannya, kami berpandangan AS mungkin hanya mahu mendapat lebih kuasa dari segi dagangan dan ini pasti akan dihalang oleh China,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata tindakan Presiden AS, Donald Trump adalah berorientasikan perniagaan.

Justeru itu, Nazri Khan berharap sentimen negatif yang berkurangan ke atas perang perdagangan terbabit akan menghentikan aliran keluar dana asing sejak 10 hari dagangan lepas.

“Disokong harga minyak mentah lebih tinggi, kami berpendapat ia (sentimen negatif yang berkurangan) juga akan membantu meningkatkan harga komoditi dan nilai ringgit berbanding dolar AS,” katanya.

Di peringkat tempatan, Nazri Khan berkata kadar inflasi dijangka susut pada separuh kedua 2018, kepada antara satu dan dua peratus, memandangkan pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Beliau berkata SST dijangka ditetapkan pada kadar peratus lebih rendah berbanding GST, dan ini mungkin menambah baik perniagaan dan ringgit.

Selain itu, tumpuan juga diberikan kepada pengumuman kabinet penuh kerajaan pimpinan Pakatan Harapan, yang akan mengangkat sumpah pada 2 Julai ini menurut kenyataan Istana Negara.

Bagi minggu yang baharu berakhir, bursa tempatan diniagakan kebanyakannya rendah seiring dengan bursa serantau, dipengaruhi terutamanya oleh kebimbangan terhadap perang perdagangan global dan penjualan dana asing.

Bagaimanapun, penurunan itu terhenti pada Jumaat susulan aktiviti memperelok akaun pertengahan tahun.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI turun 2.65 mata kepada 1,691.50 daripada 1,694.15 pada Jumaat minggu sebelumnya.

Indeks FBM Emas kurang 12.53 mata kepada 11,960.93 dan Indeks FBMT100 turun 0.71 mata kepada 11,757.93.

FBM 70 meningkat 65.26 mata kepada 14,627.06 dan Indeks FBM Emas Syariah bertambah 50.66 mata kepada 12,092.55.

FBM Ace susut 139.93 mata kepada 5,127.53.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan merosot 205.05 mata kepada 16,649.91, namun Indeks Perladangan naik 24.40 mata kepada 7,534.16 dan Indeks Perusahaan meningkat 8.56 mata kepada 3,127.53.

Jumlah dagangan mingguan susut kepada 9.70 bilion unit berniali RM10.52 bilion berbanding 10.19 bilion unit bernilai RM11.81 bilion pada Jumaat minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkurangan kepada 5.90 bilion saham bernilai RM9.53 bilion daripada 6.22 bilion saham bernilai RM10.96 bilion minggu sebelumnya.

Waran mencatatkan jumlah dagangan sebanyak 2.75 bilion unit bernilai RM814.09 juta berbanding 2.44 bilion unit bernilai RM590.20 juta minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 2.58 bilion saham bernilai RM178.25 juta daripada 1.51 bilion saham bernilai RM259.44 juta. — Bernama

Advertisement