Anda di sini

Promosikan Sarawak di pentas dunia

Advertisement
 Abdul Karim (lima kanan) bersama (dari tiga kanan) Aisah, Hii, Ben (empat kiri), Unho (lima kiri) dan tetamu lain pada sidang media di Kuching semalam.
PROMOSI SARAWAK: Abdul Karim (lima kanan) bersama (dari tiga kanan) Aisah, Hii, Ben (empat kiri), Unho (lima kiri) dan tetamu lain pada sidang media di Kuching semalam.

KUCHING: Acara golf berprestij, Kejohanan Sarawak menjadi produk pelancongan sukan terbaharu diperkenalkan Sarawak sebagai medium untuk mempromosi negeri ini kalangan penggiat sukan golf di seluruh dunia.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kejohanan diadakan dari 4 hingga 7 Julai depan di Damai Golf & Country Club (DGCC) diyakini membantu meletakkan nama Sarawak sebagai destinasi penganjuran golf bertaraf antarabangsa.

Katanya, kementerian beliau memulakan usaha mempromosikan Sarawak dalam pelbagai bidang dan kita melihat pelancongan sukan sebagai industri yang besar dengan golf salah satu daripadanya.

“Kita mahu menjadikan nama Sarawak dikenali sebagai destinasi golf serata dunia dan menarik ramai pemain golf antarabangsa datang ke Sarawak.

“Ini kali pertama Sarawak menganjurkan kejohanan ini yang disokong oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan. Saya difahamkan ia bakal disertai seramai 150 pemain profesional dari seluruh dunia,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Beliau juga percaya pemain-pemain yang mengambil bahagian pasti menyukai venue kejohanan (DGCC) yang direka oleh Arnold Palmer, nama tersohor dalam sukan golf.

Malah, lokasi padang DGCC yang terletak berhampiran Gunung Santubong dan laut pasti menimbulkan rasa teruja peserta yang mengambil bahagian.

“Kerajaan negeri amat gembira kerana dapat menjadi sebahagian daripada penganjuran kejohanan ini terutamanya dalam usaha mempromosikan pelancongan sukan dan membawa Sarawak sebagai destinasi peminat golf.

“Harapan kita dengan kejohanan ini dapat mengangkat nama Sarawak dan Damai Golf & Country Club ini di mana peminat-peminat golf mahu datang ke Sarawak untuk bermain di padang ini,” katanya.

Sementara itu, jaguh dari Sabah, Ben Leong yang berada di ranking ke-40 (Jelajah Asian) tidak sabar untuk turun beraksi di DGCC.

“Ini kali pertama saya bermain di DGCC dan saya amat menyukainya kerana ia mempunyai pemandangan menarik serta kualiti padang yang baik,” katanya.

Ben akan bersama dengan rakan senegerinya merupakan jaguh negara, Nicholas Fung berentap pada kejohanan menawarkan hadiah lumayan berjumlah USD300,000 (RM1.21 juta).

Bagaimanapun, kedua-dua pemain muda itu bakal berdepan cabaran sengit daripada 30 juara Jelajah Asean dari 20 negara.

Antara mengesahkan penyertaan pemenang Jelajah Asian sebanyak lapan kali, Gaganjeet Bhuller dari India, Micah Lauren Shin dari Amerika Syarikat, Xiao Bowen dari China, Jazz Janewattananond (Thailand), Jeev Milkha Singh dan Jyoti Randhawa (India).

Bekas juara Jelajah Pembangunan Asian (ADT) 2014 diadakan di Sarawak, Pavit Tangkamolprasert juga sah kembali untuk memburu gelaran.

Kejohanan Sarawak merupakan acara baharu ketiga Jelajah Asian diumumkan pada tahun ini selepas Asia-Pacific Classic di China dan Kejohanan Golf Terbuka UMA CNS di Pakistan.

Jelajah Asian juga buat pertama kalinya disokong Terbuka New Zealand ISPS HANDA.

Hadir sama Setiausaha Tetap Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Hii Chang Kee, Pengurus Hal Ehwal Pemain Jelajah Asian, Unho Park dan Naib Presiden Eksekutif (Khidmat Korporat) Sarawak Energy, Aisah Eden.

  • oleh
  • Advertisement