Anda di sini

Kerajaan perlu RM2.98 bilion atasi masalah banjir

Advertisement
JUNZ (kanan)  merakam gambar bersama warga kementerian dan wakil rakyat dan pemimpin di ketiga-tiga daerah sebelum memulakan perbincangan mengenai masalah banjir pada Jumaat.
JUNZ (kanan) merakam gambar bersama warga kementerian dan wakil rakyat dan pemimpin di ketiga-tiga daerah sebelum memulakan perbincangan mengenai masalah banjir pada Jumaat.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memerlukan kos sebanyak RM2.98 bilion bagi menyelesaikan masalah banjir di Penampang, Putatan dan  Kota Kinabalu.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Junz Wong berkata, anggaran kos itu diambil kira melalui pelan mitigasi banjir yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri .

"Berdasarkan pelan mitigasi banjir, kita membahagikan kos kepada tiga kawasan iaitu Kota Kinabalu memerlukan RM1.93 bilion manakala Penampang sebanyak RM600 juta dan Putatan pula memerlukan RM450 juta.

“Sehingga kini kerajaan negeri dan persekutuan telah meluluskan RM512.05 juta untuk melaksanakan pelan mitigasi di ketiga-tiga daerah berkenaan iaitu RM95. 8 juta untuk Kota Kinabalu, RM365. 5 juta di Penampang dan RM50. 75 juta bagi Putatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan perbincangan mengenai masalah banjir bersama wakil rakyat dan pemimpin masyarakat di ketiga-tiga daerah itu, di sini pada Jumaat.

Junz berkata, salah satu punca kejadian banjir menjadi semakin teruk di kawasan terbabit adalah disebabkan struktur perparitan yang kurang baik sehingga menyebabkan longkang tersumbat.

Sehubungan itu katanya, kos pembiayaan itu perlu bagi meminimumkan kesan banjir melalui pembangunan pelan mitigasi melibatkan pelaksanaan kerja penyelesaian secara keseluruhan.

"Pelan ini melibatkan Kajian Pelan Induk Rancangan Tebatan Banjir Sungai Moyog Putatan dan Pelan Induk Saliran Mesra Alam Bandar di Menggatal, Telipok dan Tuaran.

"Manakala, projek yang sedang dilaksanakan pada masa ini ialah Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kibabaig, dan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Moyog pakej satu dan tiga," katanya.

Tambahnya, ia juga melibatkan kerja penambahbaikan pengairan bagi Sungai Sugud Fasa 2, Kg. Rampayan serta Bandar Sierra di Menggatal, Tebobon Fasa 4, Taman Jubo Fasa 2, serta Rancangan Tebatan Banjir Bandaran di Sungai Telipok dan Sungai Putatan.

Selain itu, beliau berkata, bagi memastikan kecekapan infrastuktur saliran yang sedia ada juga, penyelenggaraan terusan monsun akan terus dijalankan oleh Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS).

Katanya, infrastruktur perparitan seperti longkang dan perparitan di kawasan perumahan juga akan diselia oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kerajaan tempatan.

"Kita juga perlu memikirkan pendekatan lain seperti kawalan ke atas penggunaan tanah di kawasan sensitif selain menekankan kesedaran akan kesiap siagaan menghadapi banjir.

"Bagaimanapun, usaha ini bukan hanya dilaksanakan oleh kerajaan dan organisasi berkaitan, tetapi komuniti juga harus memainkan peranan dengan membersihkan sampah sarap di longkang atau parit sekitar kawasan masing- masing," katanya.

  • oleh
  • Advertisement