Anda di sini

J'kuasa badan disiplin akan ditubuhkan

Advertisement

Penstrukturan semula sistem pengurusan Taman Hidupan Liar Lok Kawi

KOTA KINABALU: Satu usaha penstrukturan semula sistem pengurusan Taman Hidupan Liar Lok Kawi akan dilaksanakan serta merta dengan menubuhkan jawatankuasa badan disiplin bagi menyiasat wujudnya salah laku pegawai atau kakitangan.

Timbalan Ketua Menteri Christina Liew berkata, jawatankuasa itu akan menerima aduan daripada kakitangan jabatan berkaitan dan juga orang awam.

CHRISTINA (dua kanan) bersama Darell ketika meninjau gajah yang ada di taman berkenaan.
CHRISTINA (dua kanan) bersama Darell ketika meninjau gajah yang ada di taman berkenaan.

"Jawatankuasa yang bakal ditubuhkan ini akan dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap (SUT) Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.

"Selepas berbincang dengan SUT dan ketua jabatan berkaitan, pihak kementerian juga akan menstruktur kembali kedudukan organisasi di bawah Jabatan Hidupan Liar itu," katanya ketika ditemui dalam satu Lawatan ke Taman Hidupan Liar, Lok Kawi di sini pada Sabtu.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar turut mengumumkan untuk melantik doktor haiwan dari sektor swasta sebagai penasihat kepada Taman Hidupan Liar di sini khusus untuk melihat tahap kesihatan haiwan-haiwan yang ada.

Katanya, ketika ini hanya dua sahaja doktor haiwan yang ada sekaligus menyebabkan kekurangan kakitangan untuk memantau tahap kesihatan semua hidupan liar dalam taman berkenaan.

"Pihak kementerian juga akan melantik pegawai perhubungan awam taman berkenaan bagi memberikan akses maklumat terkini berkaitan taman itu kepada orang awam.

"Antara maklumat itu adalah berkaitan dengan pameran khas, penerimaan atau kelahiran haiwan dalam zoo berkenaan, haiwan yang mati (disebabkan penyakit apa) dan banyak lagi.

"Usaha ini bagi memastikan bahawa orang awam tidak menyebarkan maklumat tidak benar mengenai status terkini taman berkenaan kepada orang ramai," katanya.

Menurutnya, pegawai perhubungan awam itu juga mempunyai tugas utama untuk berhubung dengan orang awam, pihak kementerian dan syarikat pelancongan supaya boleh membawa lebih ramai pelancong datang ke taman berkenaan.

Dalam pada itu, beliau juga mengesahkan bahawa dua ekor gajah di Taman Hidupan Liar Lok Kawi telah mati seperti yang dilaporkan media baru-baru ini.

Gendu, gajah betina berusia tiga tahun ditemukan mati pada awal pagi 8 Mei lalu, sementara Yapid, gajah jantan berusia 15 tahun turut mati pada awal pagi 26 Jun ini.

Katanya, kedua-dua gajah itu mati akibat masalah kesihatan dan bukan seperti mana yang ditularkan bahawa haiwan-haiwan itu tidak mendapat penjagaan yang sewajarnya.

Hadir sama dalam lawatan itu ialah SUT Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datu Rosmadi Datu Sulai, Ahli Parlimen Penampang Darell Leiking serta kakitangan pengurusan Taman Hidupan Liar Lok Kawi.

  • oleh
  • Advertisement